Kata Anwar, dalam kes Kelantan misalnya, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) pada mulanya difahamkan tindakan pemotongan enam mata dibuat kerana tidak membayar gaji pemain tetapi apabila terbongkar Melaka dan Selangor juga berdepan isu serupa, jawapan lain pula diberikan.

Sehubungan itu, beliau menggesa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) segera mengambil tindakan sewajarnya terutamanya dalam soal hukuman kerana perkara tersebut sepatutnya di bawah bidang kuasa Jawatankuasa Disiplin FAM dan bukannya dibuat oleh FMLLP.

“Pada awalnya saya difahamkan potongan enam mata itu disebabkan masalah tidak bayar gaji, tiba-tiba saya tengok hari ini Melaka dan Selangor tidak bayar gaji, banyak lagi (pasukan) tidak bayar gaji (tetapi tidak dikenakan hukuman serupa).

“Bila saya semak, potongan mata itu kerana Kelantan tidak melengkapkan syarat-syarat pendaftaran (pula), yang mana syarat pendaftaran mesti dikemukakan sekali dokumen-dokumen daripada pihak berhutang, yang mereka beri persetujuan bahawa hutang itu dilupuskan.

“Syarat itu tidak logik. Sebab hutang ada kategori, ada hutang high off, hutang sedang distribute serta hutang dalam proses mahkamah dan mustahil kerana Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) tentu tidak boleh beri surat pengecualian.

“Jadi semua ini bukan sahaja mengelirukan malah tidak adil dalam syarat pendaftaran, memaksa kita mendapatkan surat dari penghutang,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengumumkan pemenang esei mengenai Lim Kit Siang di sini hari ini.

Semalam FMLLP mengumumkan pasukan kelab, T-Team dan skuad Liga Premier, Perlis, memperoleh semula tiga daripada enam mata yang dipotong selain membatalkan larangan perpindahan pemain ke atas kedua-dua pasukan itu selepas menerima rayuan yang dibuat.

Bagaimanapun rayuan skuad Angkatan Tentera Malaysia (ATM) masih dalam penelitian manakala nasib Kelatan tidak diketahui.

Ditanya apakah KAFA ada membuat rayuan kepada FAM, Annuar berkata perkara itu sudah dilakukan setelah pihaknya merujuk dan meneliti terlebih dahulu kepada peguam yang arif dalam undang-undang bola sepak.

“Permohonan rayuan itu telah dihantar sebelum 15 Mei lalu,” jelasnya.