Hamidin berkata senarai pemain yang dipanggil menyertai kem latihan skuad kebangsaan bukan ditentukan oleh pe­ngurusan tertinggi FAM seperti didakwa sesetengah pihak sebaliknya nama-nama tersebut dicadangkan oleh penolong jurulatih Tan Cheng Hoe memandangkan pengendali skuad kebangsaan Nelo Vingada hanya tiba di Malaysia pada 23 Mei lalu.

“Berdasarkan senarai 26 pemain tersebut, hanya sembilan pemain sebenarnya berusia 30 tahun dan ke atas yang dilabel sebagai kuda tua manakala 17 pemain lain adalah berusia di bawah 30 tahun iaitu tujuh pemain dalam lingkungan usia 22 hingga 25 tahun dan 10 pemain dalam lingkungan usia 26 hingga 29 tahun.

“Bagaimanapun, semua perlu tahu Vingada merupakan seorang jurulatih yang meminati pemain-pemain muda. Beliau sendiri telah memberitahu akan memantau pemain-pemain dari skuad Projek Sukan SEA 2017 kendalian Datuk Ong Kim Swee untuk diserapkan ke dalam skuad kebangsaan pada masa akan datang.

“Cuma untuk perlawanan pertama bertemu Lebanon pada 13 Jun ini, Vingada tidak mempunyai masa secukupnya dan menggunakan gabungan pemain sedia ada yang dirasakan adalah terbaik buat masa ini menerusi pemantauan oleh Cheng Hoe.

“Jadi peminat, penyokong dan bekas-bekas pemain ini perlu faham dengan situasi semasa dan tidak sepatutnya berterusan membangkitkan persoalan serta kritikan terhadap senarai 26 pemain yang telah dipilih itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Hamidin, beliau percaya bagi perlawanan Harimau Malaya yang seterusnya Vingada pasti membariskan gabungan pemain muda dan senior untuk memantapkan pasukan.

Mengulas mengenai penampilan semula Safiq Rahim, Aidil Zafuan Abd. Radzak, S. Kunanlan dan Amirulhadi Zainal yang sebelum ini bersara daripada pentas antarabangsa, Hamidin berkata empat pemain tersebut telah membuat keputusan untuk keluar daripada persaraan mereka.

“Mungkin mereka berempat berasakan yang mereka bersedia untuk kembali di atas faktor keyakinan terhadap kepimpinan baharu FAM yang diterajui Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim selaku Presiden FAM.

“Penyenaraian empat pemain ini dalam senarai 26 pemain dipanggil kali ini juga adalah berdasarkan faktor cadangan nama daripada Cheng Hoe supaya Vingada dapat menilai kesemua pemain lama dan baharu dalam pasukan ini.

“Mereka berempat ini akan tetap dianalisis prestasi mereka dalam kem latihan nanti dan tak semestinya mereka akan terus kekal dalam pasukan jika gagal mempamerkan persembahan terbaik,” katanya.