Penyerang Wales itu tidak beraksi sejak enam minggu lalu akibat kecederaan betis dan walaupun dia sudah kembali menjalani latihan penuh sejak beberapa hari lalu, namun tempatnya dalam kesebelasan utama belum terjamin.

Menjelang final Liga Juara-Juara, timbul perdebatan mengenai siapa wajar diturunkan esok iaitu Bale atau Isco, pemain tengah Sepanyol yang telah menampung ketiadaannya dengan baik.

Lebih menarik lagi, terdapat laporan mengatakan, Bale, yang dibeli dengan harga rekod dunia dari Tottenham, empat tahun lalu mungkin meninggalkan Santiago Bernabeu andai tidak dipilih untuk membantu Real memburu kejuaraan berganda pertama – La Liga dan Eropah sejak 1958.

“Bagaimana jika menjual Bale bukan idea yang teruk?”. Tulis akhbar utama Sepanyol, Marca.

Penulis bola sepak Marca, Roberto Palomar dalam artikel tersebut turut mendakwa “ketika ini, ketiadaannya (Bale) bukan lagi satu masalah”.

Dia turut menambah, bagi penyokong Real, melihat pemain seperti Isco, Marco Asensio atau Nacho sekadar memanaskan bangku simpanan ‘lebih menyakitkan’ berbanding kehilangan Bale.

Siapa yang bakal diturunkan bergantung kepada formasi yang akan digunakan Zinedine Zidane.

Pengurus Real itu perlu bertukar daripada formasi kegemarannya 4-3-3 kepada 4-2-2 jika mahu menggunakan Bale.

Pengarang akhbar AS, Alfredo Relano berpendapat, masalah kecergasan mungkin menyebabkan pemain berusia 27 tahun itu diketepikan.

“Dia terlepas banyak perlawanan kerana kecederaan dan dalam masa sama, ada pemain yang bagus menggantikan tempatnya. Saya fikir, keyakinan kelab terhadap Bale sudah semakin menurun.

“Ketika (Presiden Real) Florentino Perez menandatangani Bale, dia memikirkan pemain itu boleh bersaing dengan Neymar untuk anugerah Ballon d’Or, namun sekarang kita kena terima perkara itu tidak mungkin berlaku,” tulis Relano.

Relano juga percaya, tidak mustahil Bale akan meninggalkan Real sebaik sahaja musim ini berakhir kerana gergasi bola sepak Sepanyol itu menerima beberapa tawaran menarik dari kelab Liga Perdana Inggeris (EPL).

Dalam masa sama mereka turut berminat mendapatkan bintang remaja Monaco, Kylian Mbappe.