Penjaga gol Itali itu gagal me­ngatasi rekod Paolo Maldini untuk bergelar pemain paling tua me­rangkul kejuaraan Eropah (39 tahun, 126 hari) selepas dua jaringan Cristiano Ronaldo dan satu gol menerusi Casemiro serta Marco Asensio memastikan Real menjulang trofi buat kali ke-12.

Dibolosi dengan jaringan yang besar juga amat mengecewakan Buffon kerana pasukannya sebelum ini cemerlang sepanjang kempen kejohanan apabila hanya melepaskan tiga gol dalam 12 perlawanan menuju ke final.

Juara Serie A itu jelas tidak bernasib baik kerana bukan sahaja terpaksa menutup permainan dengan 10 pemain dalam tempoh enam minit terakhir, malah dua daripada jaringan Real terhasil menerusi bola lantun.

“Ia sangat mengecewakan kerana kami telah melakukan segalanya yang termampu untuk melayakkan diri ke final dan cuba memenangi kejuaraan.

“Kami beraksi cemerlang pada babak pertama dan banyak me­ngancam Real Madrid, jadi melihat apa yang berlaku pada separuh masa kedua bukan sahaja mengejutkan tetapi mengecewakan.

“Saya fikir, pendekatan baik di awal permainan tidak akan memberi ke­lebihan kepada Real, malah kami juga banyak mengawal permai­nan.

“Bagaimanapun sebaik sahaja babak kedua bersambung, Real mempamer kelas berbeza dan mula menyerlahkan kehebatan.

“Sudah tentu ada kami ada melakukan beberapa kesilapan yang menimbulkan kekesalan dan semua serba tidak kena, namun secara keseluruhan, mereka (Real) berhak menang,” kata Buffon, yang mengalirkan air mata ketika meninggalkan padang.

Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino, yang menonton perlawanan di Stadium Principality, Cardiff turut memberi penghormatan kepada Buffon.

“Juventus bermain baik pada babak pertama, namun Real Madrid sangat luar biasa dalam separuh masa kedua. Dua pasukan hebat bertemu, namun pada akhirnya pasukan terbaik muncul juara.

“Pengalaman adalah kunci perlawanan ini. Biarpun kalah, Juventus dan Gigi (Buffon) menunjukkan prestasi cemerlang musim ini, sudah pasti mereka akan mewarnai Piala Dunia tahun depan (di Rusia),” kata Infantino.