Raja Ahmad, yang merupakan bekas Naib Presiden FAM, meninggal dunia kira-kira pukul 8.45 pagi di sebuah hospital swasta di Ipoh hari ini pada usia 61 tahun. Allahyarham dimasukkan ke hospital itu semalam di mana beliau dikesan mengalami jangkitan kuman pada paru-paru dan tekanan darah rendah.

Bercerita mengenai pe­ngalaman sepanjang bersama Raja Ahmad, Hamidin berkata Allahyarham amat meminati bola sepak dan walaupun sudah tidak memegang jawatan dalam FAM namun masih tetap mengikuti perkemba­ngan semasa sukan tersebut.

“Pemergian Allahyarham amat dirasai. Ini satu kehila­ngan yang besar kepada bola sepak tempatan. Saya terkejut dengan berita kematiannya, tetapi kita mesti reda dan terima dengan hati terbuka.

“Allahyarham mempunyai minat yang begitu mendalam terhadap bola sepak. Saya mengenali Allahyarham sejak 1995 dan pelbagai kenangan kami kumpul bersama sepanjang bekerjasama dalam FAM,” kata Hamidin kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Raja Ahmad melibatkan diri bersama FAM pada 1995 hingga 2007 dengan jawatan terakhir beliau adalah Naib Presiden badan induk tersebut. Beliau juga pernah memegang jawatan sebagai pengurus pasukan skuad kebangsaan pada 1998 hingga 2000 serta pengurus pasukan Perak pada tahun yang sama.

Sementara itu, bekas kap­ten Perak, Ahmad Shahrul Azhar Sofian juga senada dengan Hamidin.

Dia turut menyifatkan Raja Ahmad sebagai seorang yang amat tegas sepanjang me­mimpin skuad The Bos Gaurus.

“Satu kehilangan dalam bola sepak tempatan ter­utamanya Perak. Beliau ba­nyak berjasa kepada Perak. Saya mengenalinya ketika masih bersama Perak dan beliau amat tegas dalam melaksanakan tugasnya sepanjang bersama pasukan.

“Kami yang pernah bermain bersama Perak di bawah pimpinan beliau meng­anggap beliau se­perti abang atau ayah kami. Beliau juga berani mengetengahkan pemain muda dalam skuad utama.

“Antara kejayaan yang kami kecapi bersama adalah menjua­rai Piala Malaysia pada 1998 dan 2000.

“Saya mewakili semua bekas pemain Perak mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham,” katanya.