Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) yang masih mempunyai kontrak dengan jurulatih itu mengesahkan berita kematiannya akibat serangan jantung di rumahnya di Jerman.

Weigang, 82, adalah jurulatih luar yang paling dikenali di negara ini apabila di bawah bimbi­ngannya Harimau Malaya layak ke Olimpik Moscow walaupun Malaysia kemudian memboikot temasya itu kerana membantah serangan Kesatuan Sosialis Soviet Rusia ke atas Afghanistan. Kejayaan itu adalah yang kedua dicapai skuad negara setelah layak ke Olimpik Munich pada 1972 dan masih gagal diulangi hingga sekarang.

Weigang kemudian kembali ke negara ini untuk membim­bing Perak sebanyak dua kali selain pernah bersama Johor FA.

Bercerita mengenai pengalaman sepanjang mengenali Weigang, kapten skuad kebangsaan pada 1980, Datuk Soh Chin Aun berkata beliau berasa sedih dan terkejut apabila menerima berita tersebut kerana pengendali dari Jerman itu turut dianggap sebagai rakan baiknya.

“Secara peribadi dia seorang jurulatih yang baik dan sepanjang bergelar jurulatih skuad kebangsaan hubungan kami seperti kawan baik. Saya berasa sedih dan terkejut mendengar berita kematiannya.

“Kita semua telah kehilangan jurulatih yang pernah membawa skuad kebangsaan layak ke Sukan Olimpik,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Dalam pada itu, berita tersebut pastinya memberi kesan kepada peminat bola sepak Perak yang baru sahaja kehilangan bekas pengurus pasukan Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar yang meninggal dunia pada Jumaat lalu selepas dima­sukkan ke hospital akibat jangkitan kuman pada paru-paru dan tekanan darah rendah.

Bekas kapten Perak, Ahmad Shahrul Azhar Sofian ketika dibimbing oleh Weigang berkata mereka sekali lagi dikejutkan dengan berita kematian seorang tokoh bola sepak negeri itu dan pastinya berita itu diterima de­ngan cukup emosi.

“Minggu yang cukup sedih untuk peminat bola sepak Perak khususnya dan Malaysia secara amnya. Kami kehilangan dua tokoh yang pernah berjasa kepada Perak dan Malaysia. Bukan saya tidak boleh terima tapi inilah kenyataan yang perlu dihadapi. Tidak sampai seminggu kami kehilangan seorang lagi tokoh.

“Beberapa bulan sebelum dia pulang ke Jerman saya ada berjumpa dengannya dan pada waktu itu dia masih kelihatan sihat. Satu kehilangan yang cukup besar.

“Sebagai bekas anak buah kepada dua tokoh bola sepak ini, saya secara peribadi amat merasai kehilangan mereka dan ter­ingat kenangan ketika sama-sama merasai jatuh bangun pa­sukan Perak.

“Don’t fight alone. Itu antara kata-kata yang kerap dikatakan oleh Weigang ketika membimbing Perak. Weigang banyak mengajar saya bagaimana untuk menjadi seorang pemain bola sepak daripada pelbagai aspek,” katanya.

Weigang pernah membim­bing Perak menjuarai Piala Malaysia pada 1998 dan 2000 bersama Raja Ahmad yang ketika itu menjadi pengurus pasukan.