Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Subkhiddin Mohd. Salleh berkata, Presidennya, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berminat dengan penggunaan teknologi itu, bagaimanapun berharap agar kajian serta penelitian dapat dibuat bagi memperbaiki integriti dan prestasi pengadil dalam Liga M.
“VAR pada ketika itu sedang dalam peringkat kajian secara intensif oleh FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) dan dipraktikkan dalam beberapa kejohanan anjurannya seperti Piala Dunia Kelab 2016, diikuti dengan Piala Dunia Bawah 20 2017 dan yang terkini Piala Konfederasi 2017.
“Pada prinsipnya FIFA berharap VAR akan dapat dimuktamadkan penggunaannya tanpa sebarang ‘kecacatan’ pada Kejohanan Piala Dunia 2018.
“Begitupun, sehingga kini VAR masih lagi dalam peringkat percubaan sama ada secara off-line mahupun on-line di beberapa buah negara Eropah dan sebilangan kecilnya di COMMEBOL, CONCACAF, AFC dan begitu juga FIFA.
“Bagi membantu mempercepatkan projek tersebut, Presiden FAM telah memperuntukkan sejumlah besar bajet untuk membolehkan kajian dan penelitian terhadap keberkesanan sistem ini dapat dilakukan dengan kadar segera.
“Sasaran awal projek ini adalah untuk memulakan latihan secara off-line mulai Julai 2017 dan seterusnya mempraktiskan penggunaannya secara on-line pada perlawanan peringkat separuh akhir dan perlawanan akhir Piala Malaysia 2017.
“Seterusnya tahun 2018 akan dijadikan kemuncak kepada perlaksanaan projek ini secara rasmi dalam saingan Liga Super secara keseluruhannya. Itu adalah sasaran FAM,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Subkhiddin berkata, Jawatankuasa Pengadil FAM telah menubuhkan pasukan khas bagi merealisasikan penggunaan teknologi VAR malah mereka menghantar wakil bagi mengkaji dengan lebih mendalam mengenainya dalam kejohanan Piala Dunia Bawah 20 2017 di Korea Selatan pada Mei lalu.
“Ahli Jawatankuasa Pengadil FAM, Nasaruddin Ishak dilantik sebagai Pengurus Projek VAR/FAM dan dibantu oleh saya sendiri dan juga seorang lagi ahli Jawatankuasa Pengadil FAM, Ravichandran Chappinamuthu manakala Ketua Unit Pengadil FAM, Kassim Kadir Bacha pula memainkan peranan sebagai pusat penyelarasan projek.
“Pada 29 Mei hingga 2 Jun 2017, Nasaruddin dan Kassim telah ke Zurich, Switzerland pula bagi mengikuti VAR Workshop 4 anjuran IFAB. Mereka berdua telah mengadakan perbincangan dan mendapatkan pelbagai maklumat dari setiap negara anggota yang telah lebih awal memulakan projek ini.
“Berdasarkan kepada laporan terperinci yang telah disediakan kepada semua ahli Jawatankuasa Pengadil FAM, kesimpulan yang perlu dibuat adalah projek ini memerlukan masa dan ia tidak boleh dilaksanakan secara terburu-buru di Liga M,” katanya.
5 sebab mengapa teknologi VAR masih belum digunakan
1. VAR masih lagi dalam proses eksperimen sejak dari awal tahun 2017 dan semua negara anggota yang terlibat masih lagi dalam proses penyesuaian, di mana semua laporan berkaitan perlaksanaannya diserahkan kepada IFAB untuk diselaraskan penambahbaikannya pada masa hadapan.
2. Jawatankuasa juga mengkaji beberapa siri kelemahan VAR yang berlaku sepanjang eksperimen ini dilakukan seperti di Hyundai A-League Australia dan yang terkini di kejohanan Piala Dunia Bawah 20 2017.
3. VAR dijangka akan digunakan sepenuhnya dalam kejohanan Piala Dunia 2018. Segala keputusan berkaitan keberkesanan VAR dijangka hanya akan diperoleh selepas daripada kejohanan terbesar ini. Untuk itu, adalah sangat bersesuaian supaya hasil daripada laporan yang bakal disediakan oleh Jawatankuasa Teknikal FIFA selepas daripada kejohanan ini dapat dijadikan panduan kepada semua negara anggota termasuk Malaysia untuk memutuskan keberkesanan VAR dalam saingan Liga-M.
4. Kesimpulannya, jawatankuasa berpendapat VAR masih lagi ‘projek yang separa matang’ dari sudut keberkesanannya dan tidak sesuai sama sekali untuk menjadikan Liga-M musim 2018 sebagai bahan kajian yang memungkinkan lebih banyak salah faham dalam pengurusan bola sepak negara.
5. Oleh itu adalah lebih wajar untuk FAM menunggu sehingga VAR benar-benar menepati keperluan dan dinyatakan secara jelas dalam “Laws of The Game 2018-2019”.