Aksi ‘berkarat’ pemain kerana lama tidak beraksi secara kompetitif menjadi perkara paling membimbangkan, manakala bagi Felda United, langkah berjaga-jaga diambil bagi memastikan stamina tidak terjejas apabila menimbang berat badan pemain sebelum dan selepas sambutan Hari Raya.
Bagi pengendali Selangor, P. Maniam, faktor kecergasan tidak menganggu persiapan pasukannya menjelang aksi Liga Super yang bakal bersambung Sabtu ini kerana skuad Red Giants tetap menjalani latihan sepanjang Ramadan.
Begitupun tidak mengharungi perlawanan kompetitif dalam tempoh yang panjang sejak liga berehat pada 1 Julai lalu memberi kesan terhadap momentum permainan pasukannya menjelang pertemuan menentang T-Team.
“Latihan berjalan baik dan stamina pemain juga berada di tahap memuaskan. Cuma yang membimbangkan saya adalah momentum perlawanan memandangkan kami tidak beraksi secara kompetitif untuk tempoh yang lama.
“Saya harap pemain dapat menyesuaikan diri secepat mungkin,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Bagaimanapun kata Maniam, daripada sudut positif, pemain yang mengalami kecederaan menggunakan tempoh rehat untuk kembali cergas.
Dia juga mempunyai masa untuk menerapkan taktikal dan membentuk pasukan lebih mantap dengan kemasukan pemain-pemain baharu ketika jendela perpindahan kedua pemain dibuka pada pertengahan Mei.
Bagi jurulatih Felda, B. Satianathan, dia mengingatkan pemainnya agar memastikan berat badan mereka tidak naik mendadak selepas Hari Raya, selain turut memberi jadual latihan sendirian sepanjang cuti bagi mengekalkan stamina.
“Semua pemain hanya diberi cuti tiga hari untuk meraikan Hari Raya dan semalam (Selasa) latihan telah bermula seperti biasa.
“Sebelum bercuti, setiap pemain ditimbang berat badan dan selepas kembali menjalani latihan… pemain ditimbang semula berat badan.
“Keputusannya adalah sangat baik kerana mereka mengikut apa yang diarahkan oleh pihak pengurusan,” katanya yang mengharapkan tiga mata mampu diraih apabila menentang Pahang, Sabtu ini.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Kedah, Mohd. Nidzam Adzha Yusoff menyuarakan kebimbangan yang sama seperti Maniam selepas skuad Lang Merah mengalami kesukaran untuk menemui rentak setelah berehat panjang.
“Rehat yang panjang sedikit sebanyak menjejaskan momentum perlawanan, harap pemain dapat menemui rentak secepat mungkin. Aksi persahabatan dan kompetitif adalah berbeza sama sekali.
“Bagaimanapun dalam pemerhatian saya ketika sesi latihan…pemain sudah tidak sabar untuk beraksi semula dan perlawanan ke-14 iadalah menentang Perak.
“Sudah pasti saya mengharapkan tiga mata penuh dapat diraih apabila beraksi di laman sendiri,” ujarnya.