Setiausaha Agung AFF, Datuk Seri Azzuddin Ahmad hari ini mengesahkan, pihaknya telah menerima surat bantahan tersebut minggu ini, malah menjangkakan menerima beberapa lagi bantahan daripada negara peserta lain.
Selaku tuan rumah edisi ke-29 Sukan SEA, Malaysia diberi keistimewaan untuk memilih kumpulan yang mahu dianggotai pada temasya 19-30 Ogos itu apabila undian dilakukan bulan depan.
Mengikut tradisi Sukan SEA, tuan rumah tidak pernah diberi kelebihan tersebut, sebaliknya ia menjadi milik juara bertahan, dan dalam kes ini, Thailand berhak memilih untuk berada dalam kumpulan yang diingini.
“Kami telah menerima bantahan rasmi daripada VFF (Persekutuan Bola Sepak Vietnam) empat hari lepas dan Laos pula menghantar surat bantahan sama, semalam. Perkara ini telah diusulkan kepada FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) dan Datuk Hamidin (Mohd. Amin) yang merupakan Setiausaha Agung FAM.
“Beliau (Hamidin) akan bawa perkara ini kepada MOM (Majlis Olimpik Malaysia) dan SEAGF (Persekutuan Sukan SEA) untuk tindakan lanjut.
“Pada pendapat saya, bantahan yang dikemukakan berasas kerana dalam sejarah Sukan SEA tidak ada lagi tuan rumah diberi kelebihan untuk memilih kumpulan dan ini sesuatu yang luar biasa.
“Saya juga jangkakan beberapa negara lain turut menghantar surat bantahan dalam masa terdekat dan kemungkinan besar format akan diubah sebelum undian dilakukan pada 8 Julai ini,” kata Azzuddin yang ditemui pada majlis rumah terbuka Hamidin di Shah Alam, hari ini.
Sementara itu, Hamidin menegaskan, setiap pasukan yang menjadi tuan rumah sudah pasti mahukan kelebihan tetapi keputusan hanya akan dibuat pada mesyuarat bersama MOM dan Jawatankuasa Pengelola KL2017 (MASOC), Isnin depan.
“Azzuddin telah menghubungi saya tentang bantahan daripada Vietnam dan Laos mengenai tatacara yang kita buat bersama MOM. Isnin ini saya akan adakan mesyuarat dengan MOM dan MASOC bagi membincangkan perkara ini.
“Undian lebih kurang macam Sukan SEA Singapura (2015), cuma kali ini kita cadang juara bertahan, Thailand diletak dalam satu pot (bekas undian) bersama tuan rumah (Malaysia).
“Jika dipersetujui oleh semua pihak, satu pot lagi mengandungi naib juara, Myanmar serta pemenang pingat gangsa Vietnam.
“Indonesia dan Singapura dalam pot ketiga, Kemboja dan Laos (keempat), manakala Filipina, Brunei dan Timor Leste dalam pot kelima,” katanya.
Jika Malaysia dan Thailand diletak dalam pot yang sama, itu bermakna kedua-dua pasukan tidak akan diundi sesama sendiri di peringkat kumpulan.