Pengendali Itali itu dikatakan begitu terdesak untuk mendapatkan Romelu Lukaku pada musim panas ini tetapi terlepas peluang itu selepas penyerang Everton tersebut sedang menjalani pemeriksaan kesihatan bagi melengkapkan perpindahan bernilai 75 juta pound (RM417.88 juta) ke Manchester United.

Conte sehingga kini masih belum menandatangani sebarang kontrak baharu bersama Chelsea, sekali gus menimbulkan keresahan dalam kalangan pengurusan tertinggi di Stamford Bridge.

Pengendali berusia 47 tahun itu pernah meninggalkan Juventus secara mengejut selepas kecewa dengan perjanjian perpindahan pemain dan akhbar Daily Mirror melaporkan bahawa kesabarannya sekali lagi teruji ekoran kegagalan kelab mendapatkan Lukaku.

Selain gagal mendapatkan bintang Belgium itu, Chelsea juga sedang bergelut untuk mendapatkan sasaran utama Conte iaitu Alex Sandro dan Leonardo Bonucci dari Juventus dan pertahanan Southampton, Virgil van Dijk.

Juara Liga Perdana Inggeris itu dijangka memburu Alvaro Morata sebagai pengganti Lukaku selain berusaha mendapatkan Andrea Belotti dari Torino.

Chelsea dilaporkan bergerak perlahan dalam sesi perpindahan musim panas ini dengan perjanjian untuk mendapatkan Tiemoue Bakayoko dan Antonio Rudiger masih belum dimuktamadkan.

Conte berhasrat untuk memperkukuhkan skuad The Blues bagi bersaing di dalam Liga Juara-Juara musim hadapan tetapi sehingga kini mereka hanya berjaya mendapatkan Willy Caballero secara percuma dari Manchester City.