Harimau Selatan kini di anak tangga teratas Liga Super dengan 36 mata selepas 15 perlawanan, sembilan di hadapan pencabar terdekat Kedah yang meraih 27 mata manakala Sarawak di tempat ketiga tercorot dengan 14 mata.
Pemain pertahanan JDT, Aidil Zafuan Abd. Radzak berkata, pemain perlu mengekalkan rentak kecemerlangan dalam baki tujuh perlawanan bagi memastikan kejuaraan kekal milik JDT buat kali keempat berturut-turut.
Pemain dari Negeri Sembilan itu juga mengingatkan rakan-rakannya agar tidak memandang rendah terhadap skuad Bujang Senang yang dikalahkan 4-0 dalam perlawanan Piala Malaysia pada Selasa lalu kerana pasukan lawan pastinya akan tampil dengan permainan yang berbeza.
“Kemenangan dengan jaringan yang besar ke atas Sarawak pada minggu lalu bukan bererti kami boleh memandang rendah keupayaan lawan. Pastinya mereka sudah tahu kekuatan dan permainan JDT dan mereka akan memberikan aksi berbeza dalam perlawanan esok.
“Setiap perlawanan adalah berbeza dan sudah tentu kami akan mempamerkan aksi terbaik untuk menyekat pasukan lawan untuk membawa pulang sebarang mata dari kubu kuat kami,” katanya di sini hari ini.
Aidil berkata, kemasukan dua pemain import iaitu Ignasio Insa dan Mohamad Ghaddar ketika jendela perpindahan bulan lalu jelas memberi impak positif terhadap Harimau Selatan.
Aidil meramalkan kedua-dua pemain itu, yang masing-masing sudah menjaringkan satu gol dalam saingan Liga Super musim ini, akan menjadi watak penting bagi memastikan JDT mempertahankan gelaran juara liga.
“Dalam masa yang singkat, kehadiran Ghaddar dan Insa memberi impak yang positif terhadap kem Harimau Selatan dan saya percaya mereka mampu memainkan peranan penting dalam membantu pasukan mencipta kemenangan,” katanya.