Daily Mail melaporkan, penyerang antarabangsa Brazil itu akan menandatangani kontrak selama lima tahun dengan gaji RM3.4 juta (£596,000) seminggu selepas cukai.
Secara keseluruhannya, perpindahan Neymar ke PSG dilaporkan menelan belanja hampir RM2.3 bilion (£398 juta).
Barcelona sebelum ini menafikan akan kehilangan Neymar dengan menolak perbincangan rahsia antara ayah pemain itu dengan Presiden PSG, Nasser Al-Khelaifi bagi mendapatkan kontrak baharu untuk anaknya.
Namun, Neymar semalam dilihat hadir ke padang latihan Barcelona selama kira-kira 40 minit bagi bertemu pengarah kelab dan mengucapkan selamat tinggal kepada rakan sepasukan.
Barcelona kemudiannya mengeluarkan kenyataan mengesahkan bintang Brazil memohon untuk berpindah sebelum meninggalkan kelab bagi melengkapkan perpindahannya ke PSG.
Ejen pemain itu, Wagner Ribeiro mengesahkan yuran perpindahan akan dibayar dalam tempoh 48 jam dan Neymar dijangka diperkenalkan di Paris seawal Jumaat ini.