Kata Ifwat, biarpun skuad bawah 22 tahun (B-22) negara sudah sebelah kaki untuk melangkah ke separuh akhir hasil dua kemenangan yang diraih sebelum ini, namun apa sahaja boleh berlaku dan mereka perlu memberi perhatian kepada ‘mesin gol’ Myanmar yang dilihat cukup ampuh dalam kempen bola sepak lelaki Sukan SEA Ke-29 (KL2017).

Myanmar memulakan kempen dengan menumpaskan Singapura 2-0, sebelum menumpaskan Laos 3-1, diikuti dengan membelasah Brunei 6-0 dalam aksi terakhir mereka, Jumaat lalu.

Anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee pula mempamer aksi kurang meyakinkan dalam dua perlawanan pertama apabila bergelut untuk mengalahkan Brunei dan Singapura 2-1. Mereka kemudian akan berdepan Laos pada saingan terakhir, Rabu ini.

“Saya akui,kami memang merasai tekanan menjelang pertemuan dengan Myanmar kerana kalau kita tengok jumlah jaringan yang dihasilkan, mereka jelas memiliki pemain yang berkualiti di bahagian serangan,” katanya.

Tambah penjaga gol Kedah itu lagi, antara pemain yang perlu diberi perhatian adalah Sithu Aung dan Hlaing Bo Bo yang mampu memberi ancaman kepada gawang gol Malaysia.