KUALA LUMPUR – Pasukan badminton wanita negara mara ke peringkat akhir Sukan SEA Ke-29 selepas mengalahkan Indonesia 3-0 di stadium Arena Axiata, Bukit Jalil di sini pagi ini.
Rentak Kemenangan dimulakan oleh perseorangan pertama negara, Soniia Cheah yang menewaskan Fitriani Fitriani 21-17, 21-17 dalam tempoh 45 minit.
Negara terus mendahului selesa apabila beregu Vivian Hoo-Woon Khe Wei diisytiharkan sebagai pemenang setelah beregu Indonesia menarik diri akibat kecederaan ketika Malaysia sedang mendahului 7-5 dalam set yang pertama.
Goh Jin Wei mengesahkan kemaraan negara setelah mengatasi Hanna Ramadini 21-16, 21-13 dan Malaysia bakal berentap dengan pemenang emas Sukan SEA 2015, Thailand dalam saingan akhir pagi esok.