Dua jaringan Jafri Firdaus Chew dan Adib Zainudin memastikan skuad bawah 22 (B-22) menumpaskan Laos 3-1 dalam perlawanan di Stadium Shah, yang sekali lagi dibanjiri ribuan penonton tuan rumah hari ini.
Biarpun muncul juara kumpulan, ia tidak memberi jaminan laluan mudah bakal menanti Malaysia dalam separuh akhir kerana lawan yang akan menanti skuad muda negara belum diketahui dan persaingan Kumpulan B masih terbuka.
Ketika ini, Vietnam menduduki tangga teratas Kumpulan B berkongsi 10 mata dengan Thailand manakala Indonesia kurang dua mata. Ketiga-tiga pasukan masih memiliki satu perlawanan dalam tangan.
Dalam perlawanan hari ini, Malaysia dan Laos pasukan mempamer aksi membosankan apa bila tiada percubaan berbahaya pada 15 minit pertama.
Pasukan tuan rumah hampir berada di depan pada minit ke-22, percubaan Syafiq Ahmad tersasar selepas menerima hantaran lintang daripada penyerang Pulau Pinang, Jafri.
Selang empat minit kemudian, ribuan peminat tuan rumah bersorak gembira selepas jaringan yang dinanti-nantikan dapat dihasilkan apabila Jafri pantas merembat bola yang sebelum itu terkena palang berpunca daripada tandukan Syafiq.
Bagaimanapun, kelebihan itu tidak bertahan lama selepas skuad kendalian Monheng Mikewong menyamakan kedudukan menerusi rembatan bola mati Phanthavong Thanin pada minit ke-32 selepas pengadil perlawanan menghadiahkan sepakan percuma ekoran Danial Amier Norhisham melakukan kekasaran terhadap pemain lawan di luar kotak penalti.
Tersentak dengan gol penyamaan tersebut, Malaysia mengatur serangan dan kapten, Adib kembali meletakkan pasukannya di depan pada minit ke-39 selepas rembatannya terkena kaki pertahanan lawan sebelum menerobos ke dalam gawang.
keputusan perlawanan skuad negara menentang Laos.