Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, pihaknya turut akan menerima bantuan daripada polis Bukit Aman dan agensi lain dalam memastikan perlawanan itu berjalan dengan lancar tanpa sebarang insiden kekecohan.
Menurutnya, kawalan ketat akan dikuatkuasakan sepanjang perlawanan itu termasuk menempatkan anggota di tempat duduk penyokong dan di sekitar stadium.
“Saya beri amaran elak elemen provokasi, anggota polis akan sentiasa memantau dan memerhati perlakuan yang boleh mencetuskan kekacauan.
“Kita tidak akan bertoleransi dan mana-mana penyokong yang didapati membawa bahan letupan serta senjata tajam pula akan terus ditahan dan tidak dibenarkan masuk.
“Mereka yang membawa pemetik api, payung dan botol air minuman ke dalam stadium turut akan ditahan tetapi akan dibenarkan masuk,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Latihan Bantuan Kecemasan kepada Anggota Unit Peronda (MPV) Polis di sini hari ini.
Dijangkakan lebih 80,000 orang akan membanjiri Stadium Shah Alam malam ini untuk menyaksikan perlawanan separuh akhir Bola Sepak Sukan SEA 2017 antara Malaysia dan Indonesia.
Mazlan dalam pada itu menasihatkan mereka yang mahu menyaksikan perlawanan itu di stadium supaya datang awal bagi mengelakkan sebarang kesesakkan di jalan raya dan di pintu masuk ke stadium.
“Pintu masuk akan dibuka seawal pukul 4 petang dan semua penonton akan diimbas terlebih dahulu sebagai langkah keselamatan.
“Setakat ini tiada rancangan untuk polis melakukan penutupan jalan di sekitar stadium,” ujarnya.