Menurut ibu kepada penjaring terbanyak Malaysia dalam KL2017 itu, V. Thirusundari, anaknya bukan sahaja membanggakan keluarga kerana pencapaian cemerlang dilakar di dalam sukan, malah kerana sifat rendah dirinya yang tidak pernah berubah biarpun sudah meraih populariti yang begitu hebat.
“Dia tidak pernah beritahu saya setiap kali berjaya menjaringkan gol. Saya dapat tahu pun melalui suami (S. Nadarajah) dan rakan-rakan kerana saya kurang meminati bola tetapi untuk perlawanan ini (Malaysia mengalahkan Indonesia 1-0 saya datang juga kerana anak saya.
“Saya tahu dia tidak ‘action’ (berlagak) dengan kehebatan diri dan suka merendah diri. Dia anak yang baik walaupun nakal sedikit, saya suka dengan sikapnya itu,” katanya sambil tersenyum.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai perasaannya selepas melihat Thanabalan menjaringkan gol ketika menewaskan Indonesia, sekaligus membantu Malaysia layak ke pentas akhir bertemu Thailand di Stadium Shah Alam esok, Thirusundari mengakui dia tidak senang duduk menyaksikan perlawanan itu.
“Bila pasukan Malaysia layak ke final, kami semua gembira, tak kisah siapa yang jaringkan gol, janji Malaysia menang,” katanya.
Thirusundari, 52, buat pertama kali hadir menyaksikan Thanabalan beraksi di Stadium Shah Alam ketika perlawanan separuh akhir dengan Indonesia pada Sabtu lalu.
Ternyata kehadirannya ditemani ahli keluarga dari Seremban berbaloi apabila anaknya berjaya menjaringkan gol tunggal kemenangan ke atas Indonesia untuk membawa Malaysia ke pentas akhir, selepas kali terakhir melakukannya ketika muncul juara di Jakarta 2011.
“Saya tak biasa ke stadium, tapi kali ini saya mahu beri semangat kepada Thana. Saya gembira dia jaringkan gol tapi paling gembira sudah pasti ayah Thana,” katanya yang merancang untuk datang ke stadium untuk menyaksikan final itu.
Thirusundari sudah tidak bekerja kerana menguruskan suaminya yang terbabit dalam satu kemalangan pada 2013 sehingga mengakibatkannya lumpuh separuh badan.
Katanya, dia percaya Thanabalan yang kini bertanggung jawab menyara keluarga tidak akan lupa diri biarpun kini menjadi perhatian ramai.