Bintang Liverpool, Coutinho yang terpaksa menerima hakikat impiannya untuk berpindah ke Barcelona musnah setelah jendela perpindahan ditutup semalam, mempamerkan aksi cemerlang dalam babak kedua permainan yang berkesudahan Brazil meraih kemenangan 2-0 ke atas Ecuador di Porto Alegre.
Pemain berusia 25 tahun itu masih belum beraksi dengan Liverpool musim ini, ekoran masalah kesakitan belakang yang dialaminya sewaktu isu perpindahan ke Camp Nou sedang hangat diperkatakan.
Bagaimanapun, Coutinho yang tidak pula menunjukkan sebarang petanda bahawa dia ditimpa kecederaan selepas dibawa masuk menggantikan Renato Augusto dalam babak kedua perlawanan, memecah kebuntuan jaringan selepas pertemuan terikat tanpa gol dalam 45 minit pertama.
Pemain baharu Barcelona, Paulinho membuka jaringan untuk Brazil, setelah dia merembat bola ke gawang lawan dari jarak dekat pada minit ke-69 selepas menerima sepakan sudut yang disempurnakan Willian.
Coutinho selepas itu menyumbat gol kedua Brazil, hasil perancangan pemain Manchester City, Gabriel Jesus yang bijak melepasi kawalan benteng pertahanan Ecuador.
Kejayaan tersebut merupakan kemenangan kesembilan berturut-turut Brazil sepanjang aksi kelayakan dan memberikan kelebihan 11 mata kepada juara Piala Dunia lima kali itu dengan tiga perlawanan masih berbaki, dan ini bermakna kedudukan teratas mereka tidak mampu dicabar.
Empat pasukan teratas dalam pertandingan round-robin di Amerika Selatan membolehkan mereka layak secara automatik ke pusingan akhir di Rusia, manakala pasukan di tangga kelima perlu beraksi dalam play-off.
Bagaimanapun, perebutan tiga lagi slot dijangka berlaku sehingga ke penghujung kelayakan, setelah hanya dua mata dipisahkan pasukan di tempat kedua, Colombia (25 mata) dengan Argentina yang menghuni kedudukan kelima (23 mata).
Paraguay turut berpeluang mengisi slot berkenaan setelah membenam Chile 3-0 di Santiago, sementara Argentina seri tanpa jaringan dengan Uruguay di Montevideo.