Aidil, 30, diarahkan keluar padang oleh pengadil perlawanan Christopher Beath pada minit ke-92 perlawanan di Stadium Hang Jebat itu, tetapi pemain berusia 30 tahun itu didakwa enggan meninggalkan padang selama kira-kira dua minit, 30 saat dan menggunakan bahasa kasar terhadap Beath.
Selepas perlawanan Aidil didapati mendekati barisan pengadil dan didakwa sekali lagi menggunakan bahasa kasar terhadap mereka.
Akibat perbuatan itu, Aidil diputuskan bersalah kerana melanggar Artikel 50.1, Kod Etika dan Disiplin Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), menurut keputusan mesyuarat Jawatankuasa Disiplin dan Etika AFC yang dikeluarkan semalam.
Ekoran daripada tindakan pemain itu Jawatankuasa Disiplin dan Etika AFC telah menggantung Aidil untuk empat perlawanan bermula dengan pertemuan menentang Hong Kong pada 10 Oktober, diikuti bertemu Korea Utara (14 November) dan Lebanon (27 Mac 2018) – kesemuanya dalam kempen kelayakan Piala Asia 2019.
Baki satu lagi perlawanan akan dibawa ke hadapan mengikut Kod Artikel 38.2.1.
Selain itu, Aidil dikehendaki membayar denda USD$5,000 (RM21,000) kerana melanggar Artikel 50.1. Denda tersebut perlu dibayar dalam tempoh 30 hari daripada hukuman dikeluarkan mengikut Kod Artikel 11.3.