Tidak menafikan terkejut dengan pemilihannya, Ifwat berkata, dia mahu memanfaatkan peluang sebaik mungkin biarpun menyedari bakal menerima cabaran sengit daripada dua lagi penjaga gol untuk berada dalam kesebelasan utama pasukan.

“Inilah yang dinamakan rezeki. Kalau diperhatikan sepanjang kempen Sukan SEA 2017, saya hanya main dua perlawanan sahaja dan itu pun di peringkat kumpulan.

“Memang saya tidak sangka untuk dapat panggilan ini sebab tahu ramai lagi penjaga gol berbakat di Malaysia. Apabila sudah dipilih saya kena pastikan tempat dalam kesebelasan utama.

“Biarpun berdepan dengan dua lagi penjaga gol yang berpengalaman saya fikir satu persaingan sihat akan berlaku terhadap kami bertiga,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ifwat, 21, beraksi dua perlawanan sepanjang kempen Sukan SEA 2017, diturunkan ketika menentang Brunei pada 14 Ogos dan Laos (23 Ogos) bakal merebut posisi bersama dua lagi penjaga gol iaitu Hafizul Hakim dari Perak dan Khairulazhan Khalid (Selangor).

Selain Ifwat, Vingada menyenaraikan lima pemain skuad bawah 22 (B-22) negara iaitu pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid, Matthew Davies dan Nor Azam Abdul Azih (Pahang), Adam Nor Azlin (Selangor) dan Syamer Kutty Abba (Pulau Pinang). Seorang lagi muka baharu iaitu Nazmi Faiz Mansor dari JDT.

Skuad negara akan memulakan latihan pusat di Johor bermula Sabtu ini sebagai persediaan menghadapi dua perlawanan Kumpulan B, Kelayakan Piala Asia 2019 bertemu Korea Utara di Stadium Kim Il-Sung, Pyongyang pada 5 Oktober ini dan Hong Kong di Stadium Hong Kong, pada 10 Oktober.