Bekas jurulatih Selangor itu berkata, dia sudah mempunyai strategi dan perancangan tersendiri dalam usahanya memburu bekalan gol untuk dibawa ke Larkin dalam aksi timbal balik pada 21 Oktober ini.
Lima pemain yang disahkan tidak dapat diturunkan esok adalah Hafiz Kamal, Leandro Dos Santos, Yashir Pinto, Jasazrin Jamaluddin dan Nazrin Nawi.
“Pinto pulang ke Chile untuk menjalani pembedahan di kakinya selepas cedera di tendon Achilles dan Hafiz turut menjalani pembedahan akibat kecederaan MCL (ligamen kolateral medial/tengah) dan Leandro juga tidak dapat diturunkan akibat kecederaan.
“Jasazarin dan Nazrin tidak dapat diturunkan kerana mereka berdua adalah bekas pemain JDT dan kami sudah bersetuju kepada perjanjian yang dibuat sebelum ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mehmet yang pernah menjulang Piala Malaysia ketika beraksi bersama Selangor pada 1995 hingga 1997 berkata dia tidak bimbang dengan kehilangan kelima-lima pemain tersebut kerana pengendali dari Australia itu sudah menemui pengganti yang sesuai.
“Tiada apa yang perlu dirisaukan dengan kecederaan lima pemain ini kerana saya ada pengganti. Apa yang penting adalah kami perlu mencari bekalan gol untuk dibawa ke Larkin nanti,” kata Mehmet yang juga pernah memenangi Piala Malaysia ketika membimbing Selangor pada 2015.