Selepas tewas 2-0 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam final Piala Malaysia pada Sabtu lalu, Nidzam berkata dia akan kembali menjadi penolong jurulatih Lang Merah bermula bulan depan dengan kontrak semusim lagi kerana menganggap dirinya belum cukup layak untuk mengemudi Kedah.
“Sudah duduk kerusi No. 1 buat apa nak turun ke kerusi No. 2?
“Secara peribadi saya tidak lihat Nidzam sebagai jurulatih yang gagal kerana Kedah menamatkan kempen Liga Super di tempat keempat kemudian menang dua piala dan layak ke final Piala Malaysia.
“Tidak semestinya gagal mempertahankan Piala Malaysia, Nidzam dianggap gagal. Sebelum ini, Tan Cheng Hoe (bekas jurulatih Kedah) gagal dalam final Piala Malaysia pada 2015 dan setahun kemudian dia menang trofi kejohanan itu dan tidak mustahil Nidzam mampu melakukan perkara yang sama.
“Saya tidak setuju sekiranya Nidzam mahu berundur daripada Ketua Jurulatih Kedah. Dia perlu menggalas cabaran tersebut untuk mematangkan lagi karier kejurulatihannya,” katanya kepada Utusan Online di sini hari ini.
Dalam pada itu, Faridzul yang merupakan bekas pemain Kedah dari 1980 hingga 1985 berkata hanya Nidzam sahaja yang mengetahui apa yang sedang dilaluinya sehingga sanggup melepaskan peranan sebagai ketua jurulatih Lang Merah.
“Kita tidak tahu apa yang Nidzam lalui, mungkin pengurusan sudah ada calon jurulatih lain, kita tidak tahu. Hanya Nidzam sahaja yang tahu apa yang dia lalui di Kedah,” katanya lagi.
Bagaimanapun, Faridzul menganggap perkara itu tidak sepatutnya berlaku memandangkan pencapaian Kedah pada musim ini di bawah kendalian Nidzam cukup membanggakan selepas memenangi dua trofi iaitu Piala Sumbangsih dan Piala FA selain layak ke final Piala Malaysia.