Pemilihan Mane dibuat berdasarkan prestasi semasanya yang baik ketika bersama Liverpool selain sumbangannya dalam membantu Senegal mara ke pusingan akhir Piala Dunia 2018 di Rusia buat kali pertama sejak 2002.
Begitu juga dengan Salah yang turut mempamerkan prestasi cemerlang ketika bersama kelab dan negaranya Mesir yang sudah pun layak ke Rusia tahun depan. Dia telah menjaringkan 12 gol bersama Liverpool musim ini sejak berhijrah dari AS Roma manakala sepakan penaltinya berjaya membawa Mesir ke pusingan akhir Piala Dunia buat kali pertama sejak 1990.
Selain dua pemain Liverpool itu, turut dicalonkan dalam senarai terakhir adalah penyerang Chelsea dari Nigeria, Victor Moses, penyerang Borussia Dortmund dari Gabon, Pierre-Emerick Aubameyang dan pemain tengah RB Leipzig dari Guinea, Naby Keita.
Aubameyang merupakan penjaring terbanyak Bundesliga Jerman musim lalu dengan 31 gol manakala Keita yang bakal menyertai Liverpool hujung musim ini dipilih berdasarkan prestasinya membantu Leipzig layak ke Liga Juara-juara Eropah.
Moses juga cemerlang di bawah pengendali Chelsea, Antonio Conte sehinggakan berjaya membantu kelab Inggeris itu muncul juara liga musim lalu.
BBC dijadual mengumumkan pemenang Pemain Terbaik Afrika dalam satu majlis anugerah pada 11 Disember nanti.