De Roo yang berasal dari Belanda berkata, meskipun pemain skuad B-19 mempamerkan aksi memberangsangkan apabila layak ke pusingan akhir Piala AFC B-19 di Indonesia pada tahun depan namun itu bukan jaminan bahawa mereka boleh bermain dengan cemerlang jika beraksi bersama pasukan senior.
“Saya berada di sana bersama pasukan ketika mereka mengharungi pusingan kelayakan Piala AFC B-19 di Korea Selatan dan memang tidak dinafikan mereka bermain dengan bagus.
“Sudah pasti pemain B-19 akan mewakili skuad senior suatu hari nanti namun bukan minggu depan (sekarang). Masih terlalu awal untuk mereka bermain bersama skuad senior kerana mereka masih memerlukan masa.
“Memang ada pemain yang bagus dalam skuad B-19 tetapi masih ada perbezaan jurang dalam kalangan mereka dan saya fikir lebih baik kita beri mereka masa dan bukannya mengambil keputusan dalam keadaan tergesa-gesa,” katanya kepada pemberita selepas majlis cabutan undian Karnival Bola Sepak Perempuan B-14 di Wisma FAM hari ini.
Hari ini Utusan Malaysia melaporkan terdapat cadangan daripada bekas pemain kebangsaan seperti Datuk Jamal Nasir dan Datuk Santokh Singh yang menggesa agar jurulatih Harimau Malaya, Nelo Vingada menggunakan pemain B-19 dan B-23 dalam skuad senior.
Tambah De Roo, skuad B-19 pastinya akan mewakili skuad senior namun mereka perlu melakukannya mengikut aturan yang betul dan bukannya secara tiba-tiba dinaik taraf.
“Perbanyakkan menyertai kejohanan untuk mendapatkan pengalaman sebelum mengorak langkah lebih jauh lagi. Mereka memang berbakat namun belum bersedia lagi. Kita lakukannya selangkah demi selangkah,” katanya.