Mohamed Salah meledak dua gol, manakala Philippe Coutinho menambah gol ketiga pada babak kedua untuk memastikan Reds mengutip tiga mata di Anfield.
Pada ketika Salah dan Coutinho paling banyak menerima pujian, Moreno yang menunjukkan peningkatan prestasi musim ini selepas bergelut sepanjang kempen 2016-17 bagaimanapun telah melakukan pengorbanan besar buat pasukan, kata Klopp.
“Pada pukul 2.30 pagi ini, pasangannya telah melahirkan anak mereka. Alberto Moreno Jr dilahirkan di Liverpool.
“Dia (Moreno) bersama pasukan di hotel ketika bayi itu lahir…Saya minta maaf kepada dia dan pasangannya,” kata Klopp dalam laman web rasmi kelab.
Liverpool yang dipisahkan satu mata di belakang pasukan tangga keempat, Tottenham mendominasi permainan dan Klopp gembira dengan prestasi yang dipamer anak-anak buahnya.
“Ia perlawanan yang sukar. Southampton bermain bola sepak dengan baik. Perlawanan juga terbuka dan kami memperoleh banyak peluang menghasilkan gol.
“Pada musim ini kami telah menunjukkan pelbagai corak permainan dan gaya berbeza. Hanya satu perlawanan yang kami bermain dengan sangat buruk iaitu ketika bertemu Tottenham (kalah 4-1).
“Prestasi kami hari ini nampak lebih matang dan paling penting, kami boleh menjaringkan lebih banyak gol. Ia hari yang sempurna,” katanya.
Klopp turut memuji Salah atas aksi cemerlangnya, sekali gus membolehkan pemain Mesir itu muncul penjaring terbanyak Liga Perdana dengan sembilan gol.
“Ketika ini dia berada dalam keadaan terbaik dan itu bagus untuk kami.
“Saya boleh katakan jaringan pertama menarik kerana peluang yang dicipta tidak begitu meyakinkan namun tetap gol. Untuk gol kedua pula hantaran yang dilakukan Coutinho kepada Salah memang menarik.
“Coutinho pernah melakukan hantaran seperti ini, namun ia jarang berlaku kerana adakalanya dia berada pada posisi ofsaid tetapi kali ini tidak,” katanya.