Keputusan itu menyebabkan Los Blancos ketinggalan 10 mata di belakang musuh tradisi, Barcelona dalam perebutan gelaran La Liga dengan mengumpul 24 mata daripada 12 perlawanan, tiga mata ditinggalkan pasukan tangga kedua, Valencia.
Kegagalan menjaringkan gol di Wanda Metropolitano menyaksikan Ronaldo hanya mencetak satu gol sepanjang kempen La Liga musim ini, malah majalah sukan Sepanyol, Don Balon mendakwa, penyerang Portugal itu melepaskan kemarahan dalam bilik persalinan sejurus tamat perlawanan.
“Ronaldo merasakan dia telah dikecewakan oleh rakan-rakan sepasukan.
“Melihat kepada prestasi semasa di Madrid, dia sudah bosan, malah menjangkakan pasukan itu mungkin tidak memenangi sebarang trofi musim ini,” tulis majalah berkenaan.
Akhbar tempatan sebelum ini turut melaporkan, bekas bintang Manchester United itu mahu meninggalkan Sepanyol, terutama selepas bergaduh dengan kapten yang juga tonggak pertahanan, Sergio Ramos.
Ronaldo, 32, sebelum ini mengecam tindakan kelab menjual Alvaro Morata, James Rodgriguez serta Pepe yang dianggap punca kemerosotan prestasi Real musim ini.
Kenyataan itu kemudian diselar oleh Ramos menyebabkan mereka kini tidak bertegur.
Bek kiri Real, Marcelo ketika ditanya mengenai pergaduhan dua pemain berpengaruh itu bagaimanapun enggan masuk campur, sebaliknya hanya berminat untuk memberi tumpuan terhadap bola sepak.
“Saya tidak tahu apa-apa tentang Cristiano tidak gembira atau dia bergaduh dengan Ramos.
“Saya hanya mahu bermain bola sepak dan tidak berminat tentang pergaduhan,” tegasnya.
Jurulatih Real, Zinedine Zidane pula menegaskan, pasukannya masih mampu mengejar pendahulu, Barcelona dan 10 mata adalah jurang yang tidak mustahil untuk dirapati.
“Kami tidak akan berputus asa awal. Ada banyak lagi perlawanan perlu ditempoh, banyak mata ditawarkan.
“Ya 10 mata satu jurang yang jauh, namun semuanya mampu berubah tambahan pula Barcelona bukan sentiasa berada di tahap terbaik dan kami akan memanfaatkan segala peluang diperoleh.
“Dalam bola sepak apa sahaja boleh berlaku dan kami akan terus berjuang sehingga tamat aksi musim ini,” kata jurulatih berusia 45 tahun itu kepada Sky Sports.