Pengerusi Lang Merah Fans Association (LMFA), Wan Syazwan Wan Mohd. Fadzelah telah membuat laporan polis di Balai Polis Taming Jaya, Kajang berkata tindakan perlu diambil oleh segelintir pihak yang tidak menghormati dan sensitif berhubung logo pasukan bola sepak.
Menurut Wan Syazwan dia menyedari mengenai video tersebut ketika berada di rumahnya pada pukul 12.30 pagi kelmarin dan bertindak membuat laporan polis pada keesokan harinya.
“Saya melihat video tersebut di laman sosial Facebook dan berfikir tindakan perlu diambil oleh mereka yang memuat naik video tersebut kerana saya sebagai wakil penyokong bola sepak Kedah tidak melihatnya sebagai bentuk gurauan.
“Bola sepak bersifat perpaduan dan harmoni dan sebagai penyokong kita kena bersikap profesional di mana tindakan provokasi seperti ini perlu dibendung agar tidak menular dan menjadi kebiasaan dalam kalangan peminat bola sepak tempatan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Video yang berdurasi 38 saat itu menyaksikan seorang lelaki memakai jersi Kedah berserta kepala maskot Helang bertindak membuang logo rasmi KFA ke dalam mangkuk tandas dan mengepam logo tersebut. Bagaimanapun, berdasarkan tinjauan Utusan Malaysia, video tersebut telah dibuang oleh pemilik akaun Facebook ‘Pahang is Dead’.
Tambah Wan Syazwan, satu kelab penyokong di bawah gabungan LMFA iaitu Kedah Red Eagle Wanderer Club turut membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Dua, Sebarang Perai Utara turut membuat laporan polis berhubung isu yang sama.
“Kami tidak mahu isu ini dianggap remeh dan pada masa sama menggesa agar KFA turut membuat laporan polis berhubung isu berkenaan. Selepas ini akan ada lebih banyak lagi laporan polis yang akan dibuat oleh kelab penyokong di bawah gabungan LMFA.
“Saya berharap isu ini tidak berlaku kepada pasukan lain. Logo merupakan perkara yang tidak boleh dibuat main-main,” katanya lagi.