Kim Swee berkata keputusan beliau untuk menggugurkan bekas penyerang Kedah itu tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak bagaimanapun selepas mengambil kira beberapa faktor menggugurkan Syafiq adalah keputusan terbaik memandangkan dia baru sahaja mendirikan rumah tangga pada minggu lalu.
“Saya telah membuat keputusan di mana kita membenarkan Syafiq menguruskan segala perancangannya yang baru berkahwin dan kita tidak akan memanggilnya untuk kejohanan kali ini dan kita akan kekal dengan 29 pemain.
“Keputusan ini dibuat tidak mempunyai kaitan dengan sesiapa. Ini keputusan yang dibuat untuk kebaikan pemain dan pasukan. Kita tahu Syafiq baru kahwin dan mungkin dia ada perancangan sendiri dan macam yang saya katakan, kita sudah berlatih selama 10 hari dan dia belum berada di tahap kecergasan yang cukup baik.
“Sekiranya dia dipanggil, Syafiq perlu melalui sesi latihan khas jadi saya tidak nampak perkara itu akan berlaku dalam tempoh yang singkat jadi saya mengambil keputusan untuk menggugurkan Syafiq pada kali ini,” katanya kepada pemberita di Wisma FAM semalam.
Tambahnya lagi, keputusan itu dibuat semalam selepas Syafiq menghubungi beliau dan Kim Swee turut berkata beliau tidak bimbang dengan tempat yang ditinggalkan oleh pemain berusia 22 tahun tersebut.
“Kita ada Sean (Eugene Selvaraj), Hadi (Fayyadh Abdul Razak) dan ramai lagi yang boleh bermain di posisi yang sama. Ketiadaan Syafiq memang terasa namun pada masa sama ia membuka peluang kepada pemain lain yang menunjukkan komitmen,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Kim Swee akan menilai prestasi anak-anak buahnya menerusi aksi persahabatan menentang PJ Rangers di Wisma FAM pada Sabtu ini.
“Masih samar lagi pemain mana yang akan digugurkan. Saya akan menggugurkan tiga pemain sebelum berlepas ke Korea Selatan dan kemudian hanya akan membawa 23 pemain terakhir sahaja ke China di mana saya akan menggugurkan tiga lagi pemain ketika berada di Korea Selatan nanti,” katanya.