Skuad bimbingan Wenger semalam sekadar seri tanpa jaringan ketika menentang West Ham, dengan kelab yang menghuni anak tangga ketujuh liga itu bersedia untuk menghadapi Newcastle yang dikendalikan Rafael Benitez.
Hanya satu mata memisahkan skuad Gunners dari kelab di anak tangga keempat Tottenham Hotspur, namun berdepan persaingan sengit merebut tiket ke Liga Juara-juara, Arsenal jelas tidak boleh kehilangan mata ketika menentang pasukan bawahan.
Seri dengan West Ham itu berlaku selepas pertemuan dengan Southampton, yang kedua-dua perlawanan sepatutnya dimenangi oleh Arsenal, sehingga mengukuhkan lagi pandangan bahawa skuad Wenger masih belum pulih daripada kekecewaan kerana kalah kepada Manchester United di tempat sendiri.
Wenger merombak pasukannya ketika bertandang ke West Ham dengan Jack Wilshere dan Olivier Giroud buat kali pertama diturunkan dalam kesebelasan utama.
Wilshere mengakui berpuas hati dengan prestasinya tetapi masih belum memulakan perbincangan dengan kelab itu berhubung lanjutan kontraknya yang akan tamat akhir musim ini.
“Buat masa ini, saya baru sahaja bermain dalam perlawanan pertama saya dalam Liga Perdana. Saya sedang berusaha keras untuk kekal cergas dan kekal dalam pasukan. Kita lihat bagaimana keadaannya selepas itu, dan saya yakin apabila masanya sesuai pengurus akan berbincang dengan saya (mengenai kontrak).
“Permainan (Arsenal) begitu mantap sukar dan pantas dan keadaan itu bagus walaupun kami tercicir mata malam ini (Rabu lalu) tetapi ada peluang untuk mendapat tiga mata pada Sabtu.
“Kami perlu memulihkan diri dan bersedia,” katanya.