Van Dijk dikaitkan dengan perpindahan ke Liverpool sejak beberapa bulan lalu dan kelab Anfield itu terpaksa mengeluarkan permohonan maaf selepas didakwa mendekati pemain antarabangsa Belanda itu secara salah pada awal tahun ini.

Bos Reds, Jurgen Klopp, bagaimanapun, tetap yakin untuk menandatangani Van Dijk dalam usahanya mengukuhkan benteng pertahanan Liverpool yang rapuh sehingga merosakkan cita-cita kelab itu untuk memburu gelaran Liga Perdana Inggeris.

“Saya berasa gembira dan ini satu penghormatan dapat menjadi pemain Liverpool FC. Hari ini merupakan hari yang cukup membanggakan saya dan keluarga apabila dapat menyertai salah sebuah kelab bola sepak terbesar di dunia.

“Saya tidak sabar untuk menyarung jersi merah yang terkenal itu buat kali pertama di depan Kop dan bersedia memberikan apa sahaja bagi membantu kelab yang hebat ini mencapai sesuatu yang istimewa untuk tahun-tahun akan datang,” kata Van Dijk menerusi laman sosial Twitter selepas memuat naik gambarnya dengan jersi Liverpool.

Walaupun Chelsea dan Manchester City dikatakan turut berminat dengan Van Dijk, Klopp akhirnya berjaya mendapatkan khidmat pemain itu yang akan menerima gaji 180,000 pound (RM983,610) seminggu.

“Kelab Bola Sepak Liverpool sudah boleh mengesahkan tentang perjanjian yang dipersetujui dengan Southampton berhubung perpindahan Virgil van Dijk.

“Reds telahpun bersetuju dengan perjanjian bersama kelab Pantai Selatan itu, juga pemain itu sendiri, yang bakal menyaksikan pertahanan berusia 26 tahun tersebut berpindah ke Anfield sebaik jendela perpindahan dibuka semula pada 1 Januari 2018,” kata satu kenyataan yang dikeluarkan menerusi laman web kelab.

Rekod dunia sebelum ini dipegang oleh Manchester City yang membayar 54 juta pound (RM295 juta) bagi mendapatkan khidmat pemain pertahanan Tottenham, Kyle Walker sewaktu musim ditutup.