Skuad bimbingan Guardiola kini selesa 15 mata di depan pasukan di tangga kedua Manchester United, terima kasih kepada jaringan Raheem Sterling pada separuh masa pertama.

City mempamerkan persembahan dominan selepas Newcastle berusaha keras mengekang mereka daripada menjaringkan gol.

Pendekatan degil yang diterapkan Newcastle juga hampir memberikan mata buat mereka apabila tandukan Dwight Gayle tersasar daripada pintu gol pasukan pelawat ketika perlawanan berada di hujung aksi.

Bos City, Guardiola mengkritik Newcastle yang bermain secara bertahan, tetapi kagum dengan cara para pemainnya tidak mengenal erti putus asa untuk membolosi pintu gol lawan.

“Kami melakukan apa sahaja, tetapi sukar untuk kami beraksi apabila pasukan yang satu lagi seperti enggan bermain.

“Kami berjaya mencipta peluang yang mencukupi untuk mencatat keputusan 2-0, 3-0, 4-0. Tetapi pada minit-minit terakhir kami terikut-ikut dengan rentak mereka dan bukan mudah kerana perlawanan tidak berakhir dengan keputusan 1-0.

“Selalunya anda menjangkakan situasi sebegini dan bukan mudah untuk selalu mengekalkan tahap ini.

“Mana-mana pengurus boleh membuat keputusan mengikut kemahuan mereka. Saya lebih selesa memilih untuk cuba bermain, tetapi saya juga menghormati apa yang lawan lakukan dan kami perlu mencari jalan bagaimana untuk menyerang mereka,” kata Guardiola.