Skuad kendalian Pep Guardiola jauh mendahului pesaingnya musim ini selepas memenangi perlawanan liga kali ke-18 berturut-turut dengan Manchester United yang berada di tangga kedua ketinggalan 15 mata.

Perjalanan City musim ini turut merakam beberapa rekod baharu daripada segi statistik dan mampu menamatkan kalendar tahun ini dengan satu lagi pencapaian membanggakan dengan kemenangan ke-19 berturut-turut.

Satu-satunya kelab dalam kalangan lima liga tertinggi Eropah yang mencatat deretan kemenangan sebanyak itu hanyalah Bayern Munich ketika di bawah kendalian Guardiola pada musim 2013-14.

Namun bagi Sterling, apa yang merangsang semangat buat pasukan ialah peluang melangkah lebih dekat dengan trofi EPL.

“Saya tidak rasa setiap orang di sini terlalu memberi tumpuan kepada rekod. Perkara paling penting ialah tiga mata.

“Apabila anda memenangi perlawanan dan statistik baharu muncul, ia bagus dan hebat, tetapi kami hanya perlu satu fokus.

“Kami perlu ke sana (Selhurst Park) dengan mentaliti untuk menyelesaikan tugas kami,” kata Sterling yang meledak gol kemenangan City di Newcastle Rabu lalu.