Menurut akhbar Britain, Daily Star, desas-desus juga kedengaran Mourinho mungkin meletak jawatan ketika kempen musim ini sedang berlangsung kerana tidak gembira dengan pengurusan kelab.

Jurulatih kelahiran Portugal itu kecewa kerana tidak mendapat sokongan pihak pe­ngurusan untuk berbelanja berban­ding pesaing utama­nya, Pep Guardiola yang kini memimpin Manchester City di persada Liga Perdana Inggeris dengan 62 mata, 15 mata mengatasi skuad Mourinho.

Keengganan United meme­nuhi permintaan Mourinho untuk mendapatkan pertahanan Tottenham, Danny Rose pada harga 40 juta pound (RM217 juta) adalah kemuncak kemarahannya.

Kakitangan kelab mendakwa, jurulatih itu kini kurang menghabiskan masa bersama pasukan, malah dalam satu temu bual baru-baru ini Mourinho menganggap London sebagai ‘rumahnya’ dan mengakui, hanya tinggal di hotel sepanjang berada di Manchester.

Dengan hubungan yang kurang harmoni, Daily Star percaya, Mourinho akan meninggalkan Old Trafford lebih awal, biarpun kontraknya hanya tamat pada Jun, 2019.

Walaupun komitmen jurulatih berusia 54 tahun itu tidak dipertikaikan, namun kekerapannya berulang alik ke London menimbulkan tanda tanya dalam kala­ngan kakitangan kelab, apakah dia tidak selesa berada di bandar tersebut.

Jurulatih itu sanggup menyewa jet peribadi di ambang Krismas dan pada Hari Krimas bagi bersama keluarganya di London, biarpun mempunyai perlawanan pada 24 dan 26 Disember.

Menurut kelab, mereka tidak tahu tentang jet peribadi tersebut kerana Mourinho membayar sendiri sewanya tetapi kekerapan pulang ke London menimbulkan persoalan mengapa isterinya, Ma­tilde tidak datang ke Manchester ketika pasukan itu sedang berdepan jadual yang sangat padat.

“Paris Saint-Germain (PSG) mungkin destinasi baharu yang sesuai buatnya,” kata sumber kelab.

Mourinho sebelum ini pernah menyuarakan hasrat untuk me­nyambung karier di Perancis atau Jerman.

Sementara itu, akhbar The ­Telegraph melaporkan, United mahu segera memulakan rundi­ngan penyambungan kontrak bersama jurulatih tersebut.

Terdapat opsyen dalam kontrak sedia ada yang bernilai 12 juta pound (RM65.20 juta) untuk membolehkan Mourinho me­nyambung kontraknya di United sehingga Jun, 2020.

Mourinho tidak pernah kekal lebih tiga tahun di sesebuah kelab, namun Naib Pengerusi Eksekutif United, Ed Woodward sedang cuba berunding dengan ejen pengurus tersebut, Jorge Mendes.