Kekalahan tersebut sekali gus menyaksikan rekod 30 perlawanan tanpa kalah daripada skuad bimbingan Guardiola tercalar selepas City tewas di Anfield itu hari ini.
Terdahulu, Alex Oxlade-Chamberlain membuka tirai jaringan buat skuad Reds seawal minit kesembilan, namun City berjaya memadamkan kelebihan itu menerusi Leroy Sane apabila menyamakan kedudukan 31 minit berselang.
Bagaimanapun, tiga gol dalam tempoh sembilan minit yang dilakukan Liverpool memasuki babak kedua mencalarkan rekod cemerlang City itu.
Roberto Firmino memulakan pesta tiga gol Liverpool itu pada minit ke-59 diikuti Sadio Mane (minit ke-61), sebelum penyerang antarabangsa Mesir, Mohamed Salah menyumbat jaringan keempat tujuh minit kemudian.
City bagaimanapun cuba bangkit mengejar menerusi gol Bernardo Silva (minit ke-84) dan Ilkay Gundogan (minit ke-90+1), namun tetap terlambat untuk sekurang-kurangnya menyamakan kedudukan.
Sekali pun tewas buat kali pertama dalam Liga Perdana sejak 5 April lalu menentang Chelsea, bos City Guardiola tidak merungut dengan persembahan anak-anak buahnya.
Guardiola menegaskan, perebutan kejuaraan Liga Perdana masih belum berakhir sekali pun dikalahkan oleh skuad kendalian Jurgen Klopp.
“Dalam setiap sidang akhbar dalam tempoh beberapa bulan lalu, anda sering mengatakan tugas di Liga Perdana sudah berakhir.
“Saya sering kata tidak, masih belum tamat. Ada kalanya perkara paling buruk timbul selepas semua orang mengatakan tugas City sudah selesai sejak bulan lepas.
“Sebenarnya, ia agak sukar untuk mengekalkan kedudukan, terutama ketika berdepan pasukan hebat seperti Liverpool.
“Bola sepak adalah sukan yang sukar dijangka. Anda perlu berjuang hingga penghujung musim,” katanya.
Sementara itu, Guardiola mengakui City telah hilang keceriaan pada babak kedua selepas diberikan tekanan tanpa henti oleh Liverpool, termasuk suasana di Anfield yang luar biasa.