Meskipun sudah diberi amaran bahawa Rusia akan disingkirkan daripada saingan Euro, tiada sebarang perubahan berlaku dalam kalangan penyokong mereka dan masih ada segelintir daripada mereka terlibat dengan pergaduhan di pusat bandar Lille, awal pagi tadi.

Sekumpulan kecil penyokong Rusia melakukan provokasi terhadap penyokong England yang berada di restoran berhampiran stesen kereta api selatan bandar Lille.

Para penyokong England yang berang dengan tindakan itu bertindak dengan membaling kerusi namun keadaan menjadi terkawal selepas pihak polis tiba di lokasi kejadian.

Awal hari ini, Polis Perancis menahan 43 penyokong Rusia kerana terlibat dengan insiden menahan sebuah bas di kawasan Alpes-Maritimes, selatan negara itu.

Bagaimanapun, Menteri Sukan Rusia, Vitaly Mutko menafikan insiden pergaduhan di antara penyokong Rusia dan England berlaku sebaliknya menyifatkan perkara itu hanya diperbesar-besarkan.

“Tiada pergaduhan berlaku…perkara itu sengaja diperbesar-besarkan.

“Segalanya berada dalam keadaan tenang. Penyokong Britain berada dalam keadaan kecewa, sudah pasti, tetapi perkara itu berjaya dikawal,” katanya.

Ketua penyokong Rusia, Aleksandr Shprigin kemudian mendakwa: “Tiada insiden ganas berlaku – keseluruhan penyokong England bangun dan lari.”

Sementara itu, Ahli Parlimen dan Ahli Lembaga Eksekutif Kesatuan Bolasepak Rusia, Igor Lebedev di dalam laman Twitter berkata: “Saya tidak melihat pergaduhan di antara penyokong sebagai sesuatu yang salah. Senyapkan pihak lawan, tindakan bijak, teruskan usaha itu!”