Croatia kejutkan Sepanyol

By
Updated: June 22, 2016

BORDEAUX 22 Jun – Pemain sayap, Ivan Perisic menjadi sumber inspirasi kepada kejayaan Croatia apabila membantu pasukannya menumpaskan juara bertahan, Sepanyol 2-1 untuk mengungguli Kumpulan D Euro 2016.
Perisic berjaya mencuri tiga mata di saat akhir apabila rembatannya berjaya menewaskan penjaga gol Sepanyol, David de Gea ketika permainan berbaki tiga minit untuk tamat.
Kemenangan tersebut membolehkan skuad kendalian Ante Cacic menjuarai Kumpulan D selepas mencatat dua kemenangan dan seri sekali untuk mengutip tujuh mata manakala Sepanyol di tempat kedua kurang satu mata. Kedua-dua pasukan tersebut layak mara ke pusingan seterusnya.
Skuad kendalian Vicente del Bosque terlebih dahulu berada di depan seawal minit ketujuh permainan menerusi jaringan Alvaro Morata menewaskan penjaga gol Croatia, Danijel Subasic berpunca daripada hantaran rakan sepasukan, Cesc Fabregas.
Tersentak dengan jaringan tersebut, Croatia menggandakan asakan dan usaha mereka akhirnya membuahkan hasil apabila Nikola Kalinic berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-45 selepas menolak masuk bola ke dalam gawang hasil hantaran lintang daripada pemain Inter Milan, Perisic.
Skuad La Roja memiliki peluang keemasan untuk berada di depan apabila pengadil perlawanan, Bjorn Kuipers menghadiahkan sepakan penalti selepas Sime Vrsaljko menjatuhkan pemain sayap Sepanyol, David Silva.
Bagaimanapun kapten Sepanyol, Sergio Ramos gagal menyempurnakan sepakan penalti tersebut.
Croatia dijadualkan bakal bertemu pasukan ketiga terbaik dari Kumpulan B, E atau F manakala Sepanyol dijangka menentang Itali atau Belgium di pusingan kedua.