Daripada 24 pasukan, Portugal satu-satunya yang mencipta 50 percubaan gol dalam dua perlawanan mereka, dengan 17 percubaan tepat, 17 tersasar dan 16 lagi dihalang.
Selepas Jerman, mereka juga merupakan pasukan yang paling mendominasi permainan, dengan purata sebanyak 62 peratus dalam satu perlawanan.
Hasil daripada itu, Portugal diletakkan di tempat ketiga Kumpulan F, kedudukan bahaya untuk pasukan yang bercita-cita besar untuk ke pusingan 16 terakhir.
Hanya kemenangan ke atas pendahulu kumpulan Hungary esok akan membantu mereka mara ke pusingan kedua tanpa bergantung kepada perlawanan lain.
Hungary pula hanya memerlukan keputusan seri untuk mengakhiri kempen peringkat kumpulan di tempat kedua, dan jika tewas sekali pun mereka berpeluang untuk mara menerusi slot empat pasukan terbaik di kedudukan ketiga kumpulan.
Cristiano Ronaldo adalah salah satu penyebab mengapa Portugal berada dalam keadaan tidak selamat sekarang apabila gagal memanfaatkan peluang mudah pada penghujung perlawanan ketika seri 1-1 dengan Iceland, dan kemudian gagal menyempurnakan sepakan penalti semasa menentang Austria.
Anak-anak buah Fernando Santos bagaimanapun enggan membicarakan apa yang kurang, sebaliknya berkata sekiranya mereka terus berusaha maka gol akhirnya akan terhasil.
“Kami memberikan segalanya, namun bola sekali lagi tidak mahu menerjah masuk. Apa yang boleh saya cakap?
“Kami tidak mahu mencipta alasan mengenai keengganan bola memasuki gawang lawan. Pasukan kami akan bangkit dalam perlawanan seterusnya,” kata Nani yang mengulas mengenai seri 0-0 dengan Austria Sabtu lalu.
Santos pula berkata pasukannya perlu tampil lebih ganas.
“Kadang-kala, saya berasakan kami malu untuk dilihat (bermain cara) buruk, atau tidak cantik. Jika kita terpaksa nampak buruk tetapi membawa kebaikan, maka kami perlu jadi buruk.
“Saya secara hakikinya buruk dan saya tidak kisah menjadi lebih buruk lagi,” katanya.