Secara keseluruhan, 69 gol dihasilkan pada peringkat kumpulan iaitu bersamaan nisbah 1.92 gol bagi setiap perlawanan. Ia catatan terendah sejak 1992 (1.75).
Daripada 69 gol yang terhasil, 45 dicipta pada babak kedua (65%). Sebanyak 27.5% daripada gol tersebut dijaringkan selepas minit ke-80 (19).
Kejayaan meledak gol ketika membantu Portugal seri 3-3 dengan Hungary turut membolehkan penyerang sensasi, Cristiano Ronaldo memahat sejarah sebagai pemain pertama menjaringkan gol dalam empat Kejohanan Eropah (2016, 2012, 2008, 2004).
Dua jaringan yang disumbang bintang Real Madrid itu turut membawa pasukannya ke peringkat kalah mati.
Portugal menjadi satu-satunya pasukan yang melangkah ke pusingan 16 terbaik tanpa memenangi sebarang perlawanan (seri tiga kali).
Buat kali pertama sejak Euro 1996 juga, tiada pasukan berjaya memenangi kesemua tiga perlawanan peringkat kumpulan.
Ukraine pula muncul satu-satunya pasukan yang kalah semua perlawanan dan gagal menjaringkan gol pada Euro 2016.
Sementara itu, Wales dan Hungary mencatat lebih banyak gol berbanding pasukan lain (enam).
Pada pusingan awal, hanya dua kad merah dilayangkan oleh pengadil iaitu kepada pertahanan Albania, Lorik Cana ketika menentang Switzerland dan Aleksandar Dragovic dari Austria dalam aksi dengan Hungary.
Switzerland melayakkan diri ke peringkat kali mati buat kali pertama dalam sejarah Euro, manakala Wales menjadi pasukan pertama muncul juara kumpulan dalam penampilan sulung sejak Sweden pada 1992.
Gareth Bale menjadi pemain ketujuh dalam sejarah Euro meledak gol dalam semua tiga perlawanan peringkat kumpulan (sejak 1980), malah dua daripada jaringannya dihasilkan menerusi sepakan bebas – satu lagi rekod kejohanan.