Dia sukar disekat – Jurulatih Hungary

By
Updated: June 24, 2016

LYON 23 Jun – Jurulatih Hungary, Bernd Storck menegaskan tiada apa yang boleh menghalang Cristiano Ronaldo apabila kapten Portugal itu menjaringkan dua gol untuk menyamakan kedudukan ketika perlawanan berkesudahan 3-3 hari ini.

Ronaldo muncul pemain pertama yang menjaringkan gol dalam empat kempen Euro selain membuat penampilan ke-17 dalam Kejohanan Eropah yang juga merupakan rekod baharu.

Malah jaringan Ronaldo itu juga berjaya mengubat kekecewaan selepas beraksi hambar ketika menentang Iceland dan Austria sekali gus membolehkan bintang Real Madrid tersebut dianugerahkan sebagai pemain terbaik perlawanan di Lyon.

“Kami tidak banyak memberi mereka peluang tetapi setiap kali Ronaldo mendapat bola, dia boleh menjaringkan gol.

“Kami semua tahu dia pemain bertaraf dunia, anda tidak boleh menghentikannya,” kata Storck.

Pemain berusia 31 tahun itu menjaringkan gol menarik ketika menentang Hungary menerusi tolakan ke belakang menggunakan tumit pada minit ke-50 sebelum menanduk jaringan keduanya 12 minit selepas itu untuk menyamakan kedudukan 3-3.

Penampilan itu adalah yang ke-128 Ronaldo bersama Portugal untuk mengatasi rekod legenda Luis Figo.

Keputusan seri itu menyaksikan Hungary muncul juara Kumpulan F manakala Iceland yang menewaskan Austria 2-1 menamatkan aksi peringkat kumpulan sebagai naib juara.

Portugal mara ke pusingan kalah mati sebagai pasukan ketiga terbaik kumpulan dan dijangka berdepan halangan sukar untuk layak ke suku akhir apabila dijadual bertemu Croatia yang mengejutkan juara bertahan Sepanyol semalam.

Hungary pula dijadual menentang Belgium Isnin depan.