Bintang tengah Chelsea berusia 25 tahun itu, bijak mengelecek tiga pertahanan lawan sebelum merembat gol ketiga pasukannya, selain terlibat membantu Michy Batshuayi menjaringkan gol kedua.

Hazard juga mencipta empat peluang terbaik untuk rakan sepasukannya, sekali gus bakal berdepan Wales di Lille yang terletak berhampiran sempadan Perancis-Belgium.

Ditanya adakah ini persembahan terbaik Belgium, Hazard berkata: “Ya. Saya juga mempunyai keyakinan untuk menang.

“Kami menjaringkan gol, mencipta peluang dan Thibaut Courtois tidak dibolosi… jadi ini malam terbaik.

“Mungkin mereka (Hungary) bukanlah lawan terbaik tetapi kami tetap berdepan sebuah pasukan yang sukar.

“Kami bermain dengan hampir sempurna dan saya juga memberikan aksi terbaik sepanjang bersama skuad kebangsaan.

“Saya tahu Hungary memiliki kualiti pertahanan yang baik. Saya tahu kami hanya perlu bersabar untuk menjaringkan gol.

“Adik saya, Kylian yang beraksi di (liga) Hungary (Ujpest) turut bercakap tentang itu, jadi kami mendapat beberapa maklumat dan mengkaji,” jelasnya.

Dalam pada itu, Hazard menjangkakan cabaran sengit bakal menanti pada suku akhir menentang Wales, Sabtu ini (3 pagi waktu Malaysia) kerana mereka tewas kepada lawan yang sama dalam kempen kelayakan.

Wales berjaya mencuri tiga mata ke atas Belgium sepanjang aksi kelayakan selepas menang sekali dan seri sekali.

“Kami akan berdepan satu lagi lawan yang sukar di suku akhir, namun kami bernasib baik kerana perlawanan akan diadakan di Lille.

“Saya sangat arif dengan bandar ini, begitu juga dengan kebanyakan pemain kami.

“Wales adalah lawan yang sukar dijangka, kami pernah bertemu mereka dalam aksi kelayakan dan tahu bagaimana keupayaan mereka.

“Mereka memiliki satu unit yang sangat padat dan pemain yang hebat di bahagian serangan. Kami akan mengkaji mereka dengan baik,” kata bintang Chelsea itu lagi.