Biarpun dibayangi kecemerlangan rakan-rakan sepasukan, namun bintang Real Madrid itu menegaskan, dia tidak peduli mengenai prestasi peribadi, sebaliknya teruja dengan prospek Portugal mampu melakar sejarah Eropah.

Pemain berusia 31 tahun itu, mengambil sepakan penalti pertama pasukannya dalam aksi yang berkesudahan Portugal menang 5-3 selepas masa penuh permainan berkesudahan 1-1.

“Ia (menjuarai Euro) adalah impian saya dan saya tidak pernah menyembunyikannya. “Kami kini di landasan terbaik dan saya harap masa saya akan tiba jua,” kata kapten Portugal itu sejurus tamat aksi di Stade Velodrome, awal pagi tadi.

Kata Ronaldo, dia sanggup melakukan apa sahaja untuk membawa Portugal merangkul kejuaraan selepas membantu mereka muncul naib pada 2004.

Sementara itu, jurulatih Portugal, Fernando Santos mempertahankan Ronaldo yang dianggap mempunyai pengaruh besar dalam pasukan, meskipun agak tenggelam.

Dalam perlawanan itu, Robert Lewandowski mengejutkan Portugal apabila meledak gol pembukaan Poland kurang dua minit selepas permainan bermula.

Bagaimanapun pemain remaja berusia 18 tahun, Sanches menyamakan kedudukan pada minit ke-33.

“Saya tidak berminat bercakap tentang individu, tetapi Cristiano mempunyai pengaruh besar. Saya fikir, orang terlalu memperkecilkan sumbangannya.

“ Apabila bercakap tentang Ronaldo, mereka hanya melihat gol..gol dan gol tetapi tidak melihat peranannya secara keseluruhan, sebagai ketua pasukan,” kata Santos.