Nawalka bagaimanapun mengakui, Poland perlu meningkatkan permainan untuk kekal relevan bersaing di pentas Euro.

Poland yang tidak pernah merangkul kejuaraan utama tumpas menerusi penentuan penalti 3-5 kepada Portugal setelah terikat 1-1 di suku akhir.

“Sudah tentu kekalahan ini adalah detik paling sukar buat kami dan pemain telah bermain dengan sepenuh hati.

“Poland tidak pernah kalah dalam semua perlawanan di Perancis, malah hari ini kami berpeluang menang dan hanya tersingkir menerusi penentuan penalti.

“Kami perlu melihat masa depan dengan penuh yakin kerana kami telah mengorak satu langkah ke hadapan,” kata pengendali berusia 58 tahun itu.

Skuad The White and Reds gagal melepasi peringkat kumpulan sewaktu menjadi tuan rumah Euro 2012.

Begitupun dalam edisi kali ini, mereka melakar pencapaian terbaik sejak menduduki tempat ketiga pada Piala Dunia 1974 dan 1982.

“Kami telah membuktikan bahawa kami cukup bagus dan berjaya mempamer corak permainan menarik.

“Kejohanan ini telah mencetuskan era baharu yang penuh dengan emosi sehingga membawa kami mendekati peminat.

“Terlalu banyak elemen positif dalam kejohanan ini. Kami mahu pengalaman berharga ini digunakan untuk kelayakan Piala Dunia,” kata Nawalka lagi.

Penyerang Bayern Munich, Robert Lewandowski yang mendapat perhatian meluas media, hanya berjaya meledak satu gol sepanjang kejohanan.

Bagaimanapun, Nawalka tetap mempertahankan kapten mereka, terutama atas kejayaannya menjaringkan gol terpantas Euro 2016, awal pagi tadi. Jaringan Lewandowski terhasil kurang dua minit selepas permainan bermula.