Jerman diheret dalam penentuan penalti paling sengit ketika menyingkirkan skuad Azzurri 6-5 selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1.

Mueller, 26, antara tiga pemain Jerman yang gagal menyempurnakan sepakan selepas tendangan lemahnya diselamatkan penjaga gol lawan, Gianluigi Buffon.

“Saya tidak akan mengambil sebarang sepakan penalti dalam tempoh dua minggu akan datang.

“Saya perlu bekerja keras untuk memperbaiki teknik tendangan sebelum bersedia menggalas tanggungjawab itu sekali lagi,” kata Mueller kepada Sport Bild.

Penyerang versatil itu turut gagal menyempurnakan penalti ketika Bayern Munich menentang Atletico Madrid pada separuh akhir Liga Juara-Juara, Mei lalu.

“Sudah tentu saya akan mengambil penalti satu hari nanti tetapi buat masa ini saya tidak punya keyakinan untuk melakukannya,” ujar Mueller.

Sementara itu, tugas Mueller kini semakin berat selepas gandingan utamanya, Mario Gomez disahkan tidak dapat beraksi sehingga tamat kejohanan akibat kecederaan hamstring.

Penyerang Fiorentina itu meninggalkan padang dalam keadaan terhincut-hincut ketika menentang Itali.

“Ia berita paling pahit untuk ditelan. Kami kehilangan pemain penting pada peringkat genting.

“Mario telah mempamer aksi cemerlang sepanjang Euro 2016 dan memainkan peranan penting kepada pasukan,” kata pengendali Jerman, Joachim Loew.