Biarpun berjaya ke separuh akhir, Portugal, yang dibimbing Fernando Santos masih bergelut mencari keserasian di Perancis, selain berdepan kritikan ekoran prestasi yang kurang memuaskan.
Danilo bagaimanapun menegaskan, dia tidak bimbang tentang gaya permainan Portugal, sebaliknya hanya mahu memberi aksi terbaik untuk menang ke atas Wales pada separuh akhir, Khamis ini (3 pagi waktu Malaysia).
“Saya lebih gemar bermain ‘buruk’ dan menjadi diri kami sendiri daripada mempamerkan persembahan menarik.
“Kami mempunyai cita-cita besar dan segala kritikan yang dilemparkan kepada pasukan ini hanya membuatkan kami semakin bermotivasi.
“Mereka (pengkritik) membuatkan kami ingin membuktikan bahawa semua itu tidak benar.
“Saya akui, kami belum bermain pada tahap terbaik, namun saya percaya kami mampu mengharungi perlawanan menentang Wales. Jika mereka berkeyakinan, ia bagus kerana kami juga begitu.
“Saya yakin kami mampu menang ke atas mereka dan mara ke akhir,” kata Danilo.
Ketika ditanya mengenai kemampuan Wales, bintang Porto itu berkata: “Kami sedar betapa bahayanya mereka, terutama dalam situasi bola mati dan ketika melakukan pergerakan di depan pintu gol.
“Mereka juga sangat baik dalam perebutan bola tinggi dan kami menjangkakan satu permainan yang agak rumit. Apa pun, saya yakin Portugal mampu melangkah ke perlawanan akhir.”
Danilo juga menegaskan, dia sudah mengkaji corak serta skil bintang Wales, Gareth Bale dan percaya mampu mengikat rakan baik kepada kapten Portugal, Cristiano Ronaldo itu apabila kedua-dua pasukan berentap di Stadium Parc Olympique, Lyon.