Bintang bola sepak Portugal itu yang sebelum ini terpaksa menelan pelbagai kritikan ekoran aksi turun naik dalam kejohanan ini berjaya membuat satu tandukan padu pada minit ke-50 untuk membolehkan pasukannya berada di depan.

Gol berkenaan yang merupakan gol ketiganya dalam Euro 2016 berjaya menyamai rekod sembilan kali Michel Platini dalam final kejuaraan Eropah.

Selepas itu Ronaldo juga berjaya membuat hantaran yang disempurnakan oleh Nani untuk gol kemenangan Portugal pada minit ke-53 untuk menamatkan kejayaan Wales yang berjaya memasuki kejohanan bola sepak utama dunia sejak 1958.

Kejayaan Portugal melangkah ke final Euro 2016 itu akan mempertemukan pasukan itu dengan sama ada pasukan tuan rumah, Perancis atau Jerman yang akan bertemu awal pagi hari ini.

“Saya amat berharap selepas perlawanan akhir nanti kami akan dapat tersenyum dan menangis akibat kegembiaraan.

“Saya sering berkata yang saya ingin dapatkan trofi untuk Portugal. Kami semakin menghampirinya dan saya percaya, kami mampu lakukannya” kata Ronaldo kepada wartawan selepas berjaya berada di tempat teratas penjaring terbanyak di samping rakan kelab Real Madrid, Gareth Bale.

Ronaldo sebelum ini hampa ekoran kegagalan memasuki final kejohanan yang sama ketika kalah pada pertemuan dengan Greece di Euro 2014.