Dua jaringan Antoine Griezmann dan pertahanan yang mantap menyaksikan pasukan tuan rumah bertahan terhadap asakan Jerman, yang mendominasi perlawanan namun gagal menembusi tembok Perancis, sekali gus melayakkan skuad Les Bleus ke perlawanan akhir kejohanan.

Menurut jurulatih Perancis, Didier Deschamps, lawannya dalam final nanti mempunyai kelebihan kerana dapat berehat sehari lebih lama berbanding pasukannya, namun dari segi rekod Les Bleus memiliki kelebihan apabila mereka menewaskan Portugal dalam 10 perlawanan berturut-turut sejak 1978.

“Kami hanya mempunyai tiga hari lagi untuk persiapan ke final iaitu satu tempoh yang pendek, maka kami perlu cepat menamatkan keraian kemenangan ini (menentang Jerman).

“Ini merupakan satu langkah ke hadapan, namun paling penting adalah percaturan untuk perlawanan final nanti. Kami akan melakukan apa sahaja mengikut tahap kebolehan pasukan untuk menghadapi perlawanan akhir,” katanya.

Deschamps lewat menghadiri sidang akhbar disebabkan oleh suasana riang dalam stadium apabila Perancis mengalahkan Jerman untuk kali pertama dalam kejohanan utama sejak Piala Dunia 1958.

“Perlawanan tadi menghasilkan satu keputusan yang bagus untuk kami kerana pasukan sudah lama tidak meraikan kemenangan terhadap Jerman. Bagaimanapun, kejuaraan bakal tercapai dalam perlawanan menentang Portugal selepas ini.

“Hanya kerana kami menjadi pasukan tuan rumah dan telah mengalahkan Jerman tidak bermakna kami mempunyai tenaga tambahan. Mereka (Portugal) percaya kepada diri sendiri dan kami juga yakin dengan skuad yang ada,” katanya.