Antaranya, kejayaan mereka menumpaskan Belgium 3-1 di peringkat suku akhir kejohanan menyaksikan pemain Wales membawa masuk anak-anak mereka ke padang untuk bersama pasukan Dragons meraikan kemenangan itu.

Meskipun suasana dalam stadium ketika itu memberikan banyak gambar yang bernilai untuk jurugambar dan kebanyakannya sudah disebarkan melalui internet, Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) tidak melihat perkara itu sebagai tindakan yang betul.

Menurut Wales Online, UEFA telah mengenakan tindakan disiplin terhadap Persatuan Bola Sepak (FA) Wales dengan bayaran denda yang agak tinggi kerana melanggar protokol keselamatan.

Sebelum ini, UEFA turut menjelaskan, dalam apa jua keadaan sekalipun pemain dilarang membawa masuk kanak-kanak bersama mereka.

Pengarah Kejohanan UEFA, Martin Kallen dalam satu kenyataan seperti yang dilaporkan Wales Online berkata, kejohanan tersebut bukanlah satu parti kekeluargaan sehingga boleh membawa kanak-kanak masuk ke padang.

“Sebuah stadium bukanlah begitu selamat untuk kanak-kanak kecil. Kesemua gambar yang diambil ketika itu adalah suatu yang indah dan kami tidak 100 peratus meni­dakkan perkara itu, cuma mengambil langkah berjaga-jaga.

“Secara dasarnya, ha­nya yang diberi tauliah sahaja sepatutnya berada di padang,” katanya.