Penyerang sensasi, Mohd. Amri Yahyah dan pemain sayap, S. Kunanlan disebut-sebut bakal mengikut jejak Safiq dan Aidil atas sebab yang tidak dapat dipastikan.
Malah, pengendali skuad kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee mengakui, terkejut apabila mendengar mengenai berita itu, tetapi enggan mengulas lanjut kerana tidak tahu menahu mengenainya.
“Saya langsung tidak tahu mengenai perkara itu, sama seperti saya tidak tahu apabila Safiq dan Aidil mengumumkan persaraan mereka. Jika benar, ia memang mengejutkan.
“Namun, pada saya apa yang lebih penting sekarang adalah menumpukan kepada tugas mencari pemain baharu yang akan dinilai dalam baki saingan Liga Super serta Piala Malaysia, musim ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Seandainya benar, Amri dan Kunanlan memilih jalan yang sama dengan Safiq dan Aidil, perkembangan itu pasti menguatkan andaian ia mungkin ada kaitannya dengan teguran yang dibuat pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam Facebook JOHOR Southern Tigers (JST) baru-baru ini.
Tunku Ismail pada 12 Julai lalu menyelar tugasan skuad negara yang mengakibatkan lima pemainnya cedera.
“Laporan yang saya terima daripada pemain dan jurulatih kecergasan pasukan sepanjang tempoh 30 hari pemain bersama skuad kebangsaan, hanya 11-12 hari mereka menjalani latihan.
“Dan pada tarikh 19 hingga 29 Jun hanya ada 4 hari sesi latihan berbanding JDT yang menjalani sesi latihan sebanyak 19 kali pada tarikh yang sama.
“Itulah sebabnya pemain mengalami kecederaan. Jika kecederaan pemain disebabkan ketika beraksi dan berlaku kekasaran ke atas pemain, saya boleh terima tetapi jika disebabkan oleh kekurangan latihan, saya tidak boleh bertoleransi,” katanya.
Bagaimanapun, usaha Utusan Malaysia untuk mendapatkan komen Amri dan Kunanlan mengenai spekulasi itu gagal setelah kedua-duanya tidak menjawab panggilan telefon.
Keputusan Safiq dan Aidil untuk berundur turut menerima pelbagai reaksi, namun rata-rata penyokong JDT menyokong tindakan bintang kesayangan mereka.