Selain terus mendakwa FAM sebagai sebuah organisasi korup dan dipimpin oleh yang tiada kebolehan selain tidak menghiraukan kebajikan pemain, Tunku Mahkota Johor (TMJ) yang merupakan pemilik JDT berkata keputusan persaraan Safiq Rahim, Aidil Zafuan Abdul Radzak, Amirul Hadi Zainal dan S. Kunanlan bersara daripada arena antarabangsa dibuat oleh pemain-pemain itu sendiri dan beliau hanya berkata akan menyokong setiap keputusan mereka.
Sebelum ini difahamkan persaraan empat pemain itu mempunyai kaitan dengan teguran yang dibuat Tunku Ismail dalam Facebook Johor Southern Tigers baru-baru ini yang menyelar tugasan skuad negara yang mengakibatkan lima pemainnya cedera.
SELEPAS kenyataan berkenaan kekecewaan saya terhadap organisasi skuad kebangsaan iaitu FAM dan FMLLP, kelab kami telah mengadakan mesyuarat untuk menyuarakan kebimbangan kami mengenai kelemahan di dalam menjalankan tugas dan pentadbiran dalam FAM.
Sejurus selepas mesyuarat rasmi kelab JDT tersebut, beberapa pemain telah datang berjumpa saya dan memberitahu hasrat mereka untuk bersara. Saya memberi pendapat saya bahawa apa juga keputusan yang mereka buat, saya akan menyokong keputusan mereka.
Sebahagian daripada mereka meminta saya membantu mereka untuk mengumumkannya melalui laman rasmi JDT. Mereka tidak mahu mengumumkannya melalui media dan akaun media sosial mereka sendiri kerana terdapat ramai peminat bola sepak yang tidak bertanggungjawab sentiasa akan menyalahkan tindakan mereka.
Saya bersetuju dan mengarahkan pegawai di kelab kami untuk mengendalikannya.
Sekarang, saya ingin menyuarakan pendapat jujur saya kepada peminat bola sepak di seluruh negara dan beberapa penyokong setia FAM. Untuk memahami keadaan ini, anda perlu menggunakan otak anda, walaupun kebanyakan anda tidak menyukainya. Adalah mudah untuk mengkritik tetapi anda perlu meletakkan diri anda di tempat mereka untuk memahami keputusan mereka. Pemain ini sayangkan negara
mereka.
Mewakili negara adalah penghormatan terbesar yang pernah mereka lalui dalam kerjaya mereka. Mereka bukan melakukannya kerana tidak suka kepada Malaysia. Mereka melakukan kerana mereka adalah manusia seperti anda dan saya. Mereka melakukan ini kerana mereka sudah letih dengan panggilan yang tidak sepatutnya di mana mereka perlu menghabiskan masa berbulan-bulan di kem latihan dengan latihan yang tidak mencukupi dan tidak memberi manfaat kepada pasukan kebangsaan.
Mereka terpaksa bermain untuk sebuah organisasi yang tidak pernah mengendahkan hal ehwal kebajikan mereka dan tidak berbuat
apa-apa apabila rakan-rakan mereka tidak menerima gaji daripada kelab masing-masing. Mereka terpaksa bermain untuk seorang pemimpin yang tidak pernah menghadiri sebarang latihan atau pun mesyuarat. Mereka terpaksa bermain untuk seorang pemimpin yang tidak mengetahui nama mereka dan kewujudan mereka.
Mereka terpaksa juga bermain untuk sebuah organisasi yang tidak ambil kisah apabila mereka mengalami kecederaan. Saya berdiri bersama pemain-pemain ini. Terdapat lebih ramai lagi pemain yang mahu mengambil tindakan yang sama seperti pemain JDT lakukan tetapi mereka terlalu takut dengan pengurusan mereka.
Tuan-tuan dan puan-puan. Mudah bagi anda untuk memberi komen dan mengkritik. Tetapi jika anda berada di tempat mereka, saya rasa anda juga akan melakukan perkara yang sama. Mereka telah cuba pelbagai cara yang sepatutnya dan profesional yang mungkin untuk
mengendalikan perkara-perkara ini seperti merujuk kepada PFAM (Persatuan Pemain Bola Sepak Porofesional Malaysia), dan juga menyuarakan masalah mereka kepada jurulatih dan pegawai FAM. Tetapi seperti biasa, FAM lakukan apa yang biasa mereka lakukan
iaitu mengabaikan mereka. Sama seperti bagaimana mereka mengabaikan kelab dan penyokong bola sepak di seluruh negara selama 30 tahun.