Difahamkan, FAM turut mengarahkan jurulatih skuad negara Datuk Ong Kim Swee tidak memberi ulasan.

Usaha Utusan Malaysia untuk mendapatkan maklum balas FAM hari ini menemui ke­gagalan apabila tiada seorang pun pegawai atasan badan induk tersebut menjawab panggilan telefon mahupun membalas kiriman mesej menerusi aplikasi WhatsApp.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin difahamkan masih lagi bercuti dan beliau kini berada di luar negara atas urusan peribadi, sementara Timbalan Presiden, Datuk Seri Affandi Hamzah yang dihubungi menerusi WhatsApp pula keberatan untuk meng­ulas mengenai isu tersebut.

Hanya Kim Swee yang berjaya dihubungi menerusi panggilan telefon. Bagaima­napun pengendali Harimau Malaysia itu berkata, beliau tidak dibenarkan oleh pihak pengurusan tertinggi FAM untuk mengulas mengenai isu bekas empat pemainnya itu.

“Saya minta maaf kerana telah mendapat arahan daripada pihak atasan agar tidak mengulas mengenai isu ini. Selagi saya tidak mendapat kebenaran, selagi itulah saya tidak boleh memberikan sebarang komen,” katanya.

Dalam pada itu, usaha Biro Utusan Malaysia Pahang untuk mendapatkan maklum balas daripada Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah turut menemui kegagalan kerana beliau juga masih lagi bercuti bersama keluarga.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan menerusi akaun Facebook Johor Southern Tigers semalam, TMJ terus mendakwa FAM sebagai sebuah organisasi korup dan dipimpin oleh yang tiada kebolehan selain tidak menghiraukan kebajikan pemain.

TMJ yang merupakan pemilik JDT berkata, keputusan persaraan Safiq Rahim, Aidil Zafuan Abdul Radzak, Amirul Hadi Zainal dan S. Kunanlan dari­pada arena antarabangsa dibuat oleh pemain-pemain itu sendiri dan beliau ha­nya berkata akan menyokong setiap keputusan mereka.

Sebelum ini difahamkan persaraan empat pemain itu mempunyai kaitan dengan teguran yang dibuat Tunku Ismail dalam Facebook Johor Southern Tigers baru-baru ini yang menyelar tugasan skuad negara telah mengakibatkan lima pemainnya cedera.